AM

PASUKAN PENYELAMAT LAKUKAN PENCARIAN DI PERMUKAAN TANGKI PEMBENTUNGAN LOJI IWK PANTAI DALAM

27/08/2024 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India dilihat melakukan pencarian di permukaan tangki pembetungan Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, di sini petang ini.

Pasukan SAR dilihat menggunakan jaring yang diletakkan pada batang kayu yang panjang ketika melakukan pencarian di tangki kumbahan terbabit.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja pencarian di permukaan tangki pembentungan itu bermula pada 4.30 petang oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) sambil dibantu oleh petugas IWK dan berakhir kira-kira satu jam kemudian.

Difahamkan pasukan SAR tidak akan memasuki tangki berkenaan kerana kerja-kerja ‘flushing’ di lokasi kejadian di Jalan Masjid India masih lagi berjalan, di samping risiko terdapatnya gas beracun dan bahan mudah terbakar di dalam tangki itu.

Pengamal media dilihat berkumpul di pintu loji berkenaan bagi mengikuti operasi pencarian mangsa warga India itu.

Hari ini merupakan hari kelima misi mencari pelancong dari Kuppam, Andhra Pardesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang hilang selepas terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter yang terhasil akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan