AM

SARAWAK SALUR LEBIH RM1.1 JUTA UNTUK SEKOLAH MUBALIGH SIBU, SARIKEI

01/09/2024 08:48 PM

SIBU, 1 Sept (Bernama) -- Sarawak menyalurkan peruntukan berjumlah lebih RM1.1 juta untuk membiayai kos penyelenggaraan enam sekolah mubaligh di Bahagian Sibu dan Bahagian Sarikei, di sini hari ini.

Peruntukan tersebut yang disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak, telah disampaikan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Daripada peruntukan itu SJK Methodist (M) Sibu menerima peruntukan paling banyak iaitu RM300,000 diikuti SMK Tong Hua, Meradong (RM200,000); SK Methodist Anglo-Chinese, Sarikei (RM176,361); SJK(C) Su Kwong, Sarikei (RM150,000); SJK(C) Tong Hua, Meradong (RM150,000); dan SMK Methodist, Sibu (RM125,999).

Dr Rundi berkata UNIFOR bukan bukan sahaja memberi bantuan bagi pembangunan fizikal institusi agama bukan Islam termasuk gereja dan permohonan tanah perkuburan, malah boleh melakukan lebih banyak lagi perkara berkaitan usaha kerajaan bagi menjaga hal-ehwal institusi bukan Islam di Sarawak.

“Sebagai contohnya di Bintulu saya sedang berusaha mewujudkan perkuburan baharu yang lebih besar untuk komuniti Kristian, tetapi (lokasi) agak jauh dari pusat bandar.

“Kami memerlukan kira-kira 60 hektar tanah yang dimohon oleh SUCT (Sarawak UNIFOR Charitable Trust) kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya pada majlis penyampaian cek UNIFOR kepada enam sekolah mubaligh di Bahagian Sibu dan Bahagian Sarikei hari ini.

Dr Rundi berkata disebabkan tidak ada lagi tanah untuk mewujudkan tapak perkuburan baharu bagi komuniti Kristian di dalam kawasan bandar Bintulu, tapak perkuburan yang lebih besar itu dicadangkan dibina di Sebauh.

Beliau berkata tapak perkuburan baharu tersebut diperlukan kerana pertambahan jumlah penduduk berikutan ramai orang berhijrah untuk bekerja dan seterusnya menetap di Bintulu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan