SUKAN

PIALA RAJA THAI: MALAYSIA KEKAL REKOD KEMENANGAN ACARA REGU

01/09/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam acara regu lelaki Piala Raja Thai 2024 di Nakhon Ratchasima, Thailand, hari ini. 

Pada divisyen premier yang disertai oleh lima negara, skuad Malaysia berjaya meraih kemenangan dalam ketiga-tiga aksi, dengan juara bakal ditentukan selepas aksi terakhir liga sepusingan atau round robin menentang India, esok. 

Malaysia memulakan kempen dengan kemenangan mudah 2-0 masing-masing menentang Singapura (15-2, 15-6) dan China (15-8, 15-6). 

Skuad negara bagaimanapun terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Brunei, di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara Abdul Talib Ahmad, 2-1 (13-15, 15-9, 15-12).

Seteru utama skuad negara, Thailand tidak menyertai acara regu lelaki. 

Pada Piala Dunia 2024 di sini, Mei lepas, skuad negara muncul juara acara regu menerusi kemenangan 2-0 (15-8, 15-12) ke atas Thailand pada final.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan