AM

JADIKAN SEMANGAT HARI KEBANGSAAN KE-67 PENDORONG TINGKAT PRESTASI - PM ANWAR 

02/09/2024 10:07 AM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia menjadikan semangat yang ditonjolkan semasa Sambutan Hari Kebangsaan 2024 sebagai pendorong untuk memperbaiki diri serta meningkatkan prestasi dalam segala bidang. 

Beliau berkata suasana Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada Sabtu lepas yang dijayakan dengan begitu luar biasa membuktikan bahawa semua rakyat Malaysia berupaya melakukan sesuatu dengan jauh lebih baik jika ada kesungguhan. 

"Saya lihat kibaran bendera (Jalur Gemilang) seluruh dunia, kita bersyukur kerana negara aman, stabil dan semangat rakyat itu kian menyemarak. 

"Semangat ini tidak selalunya jadi, 67 tahun kita sambut negara merdeka tetapi tidak setiap tahun semangat itu sama ... kita (perlu) manfaatkan (semangat ini) untuk meyakinkan diri kita dan negara untuk memperbaiki diri dalam segala bidang," katanya.

Anwar berkata demikian pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan September di sini, pagi ini.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini disambut di Dataran Putrajaya dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.'

Lebih 100,000 rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta latar belakang menghadiri sambutan itu bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara di samping menyaksikan pelbagai persembahan dan perarakan pelbagai kontinjen serta aset negara termasuk aset pertahanan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan