DUNIA

MAYAT TERAKHIR BANJIR KILAT DI TERNATE, INDONESIA DITEMUKAN

02/09/2024 12:06 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Sept (Bernama) -- Usaha mencari mangsa bencana banjir kilat di Ternate, Maluku Utara berakhir dengan penuh kesedihan apabila mayat terakhir yang hilang berjaya ditemukan pada Ahad.

Mayat itu ditemukan kira-kira 7 malam, menandakan berakhirnya usaha mencari mangsa sejak bencana melanda kampung Rua pada 25 Ogos lepas.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata mayat itu dibawa ke sebuah fasiliti perubatan tempatan untuk tujuan pengecaman.

Penilaian kerosakan mendedahkan bahawa 18 rumah rosak teruk, 21 mengalami kerosakan kecil, dan 33 lagi terjejas dalam pelbagai cara dengan kemudahan awam turut mengalami kerosakan, termasuk kemusnahan sebuah tempat ibadat.

Abdul Muhari berkata pentadbiran bandar Ternate telah mengisytiharkan darurat sehingga 7 September untuk memberikan sokongan dan sumber kepada komuniti yang terjejas, termasuk 73 keluarga melibatkan 241 orang yang kini berlindung di sebuah sekolah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan