JENAYAH & MAHKAMAH

DUA BERANAK ANTARA LIMA DITAHAN DISYAKI TERLIBAT SINDIKET DADAH

02/09/2024 03:22 PM

JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- Ibu dan anak antara lima individu ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah bernilai RM157,964 dalam serbuan di sekitar daerah ini pada 27 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 39 hingga 69 tahun itu ditahan kira-kira 1 pagi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Taman Pelangi, di sini polis menemukan 4,925 gram syabu, 2.8 gram ganja dan 1.4 gram ketamin serta sepucuk senjata api palsu dan 33 butir peluru kapur yang dipercayai dibeli menerusi dalam talian.

“Turut dirampas, dua kereta dan wang tunai RM1,385 manakala modus operandi ialah dengan menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedar di pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, polis sedang menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai lepas itu didalangi seorang lelaki berusia 37 tahun.

Raub berkata hasil saringan air kencing mendapati tiga lelaki dan seorang wanita itu positif terhadap methamphetamine manakala hasil semakan mendapati kesemua yang ditahan mempunyai rekod kegiatan jenayah dan dadah, keseluruhannya melibatkan 47 rekod.

Beliau berkata kesemua individu itu disambung reman enam hari bermula hari ini selepas tempoh reman selama seminggu bermula 27 Ogos lepas tamat hari ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan