AM

KARNIVAL KOMUNIKASI DI KULAI, JOHOR PADA 6 DAN 7 SEPT

02/09/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik TM Technology Services Sdn Bhd (TM) akan menganjurkan Karnival Komunikasi 2024 di Taman Rekreasi Hutan Bandar Putra Kulai, Johor pada Jumaat dan Sabtu ini. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata karnival itu akan bermula 8.30 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan 7 pagi hingga 7 malam Sabtu.

Beliau berkata pelbagai program menarik akan disajikan kepada pengunjung antaranya Karnival Komunikasi Fun Run, Sukan Jiwa Komuniti MADANI @ Parlimen Kulai dan percetakan setem dengan gambar sendiri oleh Pos Malaysia. 

“Kita juga menyediakan program seperti Jom Tukar Al-Quran yang membolehkan pengunjung menggantikan al-Quran lama dengan al-Quran yang mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara percuma, cabutan bertuah dan konsert mini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Temu Bual terbitan Bernama Radio. 

Beliau berkata karnival bertemakan "Literasi Komunikasi, Masa Depan Harmoni" itu dijadual dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada 9.30 pagi Sabtu. 

Mano berkata karnival itu turut menyediakan perkhidmatan secara langsung melalui kolaborasi strategik bersama kementerian dan agensi antaranya KDN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan, Polis Diraja Malaysia dan syarikat telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile serta YTL (YES).

Dalam pada itu, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik. 

“Karnival Komunikasi membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf serta kesejahteraan hidup rakyat,” katanya. 

Beliau berharap penganjuran Karnival Komunikasi dapat merapatkan jurang antara kerajaan dengan rakyat bagi mewujudkan masyarakat yang bermaklumat melalui penyampaian informasi yang terkini dan sahih.

“Pelbagai aktiviti dan hadiah menarik akan disediakan untuk semua pengunjung. Mereka dinasihatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga terutamanya kanak-kanak, selain disarankan membawa payung memandangkan cuaca yang tidak menentu.

“Pihak urus setia turut menyediakan kemudahan tertentu seperti tunjuk arah, parkir, surau, tandas, tempat makan dan lain-lain untuk keselesaan pengunjung,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan