EKONOMI

SEKTOR PEMBUATAN BERSEDIA UNTUK PERTUMBUHAN SEPARUH KEDUA 2024 - FMM

02/09/2024 03:39 PM

PETALING JAYA, 2 Sept (Bernama) -- Sektor pembuatan bersedia untuk meneruskan pertumbuhan menjelang separuh kedua 2024, dipacu oleh pemulihan dalam ekonomi global dan dasar domestik yang menyokong, selepas memberikan prestasi yang amat baik pada separuh pertama 2024, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata pengeluar sedang bersiap sedia bagi memenuhi lonjakan permintaan di dalam dan luar negara, dibantu oleh peningkatan nilai ringgit. 

“Sekiranya ringgit bergerak dari paras semasa 4.30 kepada 4.00-4.20 berbanding dolar US menjelang akhir tahun, ini bukan sahaja baik untuk pengeksport tetapi juga pengeluar domestik memandangkan kos operasi dan harga jualan produk boleh dikurangkan,” katanya kepada pemberita pada Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM untuk separuh pertama 2024 di sini hari ini.

Soh berkata, jangkaan indeks aktiviti perniagaan am naik ketara daripada 92 kepada 106, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan responden.

Keyakinan ini didorong oleh pemulihan ekonomi dalam pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, selain dasar dalam negeri yang menyokong pertumbuhan perindustrian.

Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai prospek pertumbuhan hasil bagi 2024 berkata pengilang Malaysia optimis tetapi agak berhati-hati di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar.

Menurut Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM untuk separuh pertama 2024, 50 peratus daripada responden meramalkan pendapatan mereka akan berkembang, didorong oleh faktor seperti pemulihan ekonomi global termasuk permintaan domestik yang berdaya tahan.

Pada masa yang sama, 21 peratus responden menjangkakan tiada perubahan, dan 29 peratus melihat pendapatan mereka akan merosot berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kos operasi, inflasi berterusan serta ketidaktentuan ekonomi global.

Mengenai pertumbuhan keuntungan, Soh berkata pengeluar menyatakan keyakinan berhati-hati berikutan peningkatan kos dan ketidakstabilan pasaran, dengan 42 peratus responden menjangkakan kenaikan keuntungan, 21 peratus berpendapat bahawa tiada perubahan dalam keuntungan dan 31 peratus meramalkan penurunan.

Tinjauan itu mencerminkan indeks aktiviti perniagaan am menokok sebanyak 4.9 peratus dalam separuh pertama 2024, menonjolkan kestabilan yang berterusan dan sentimen yang bertambah baik dalam sektor pembuatan.

Daripada 616 responden, 26 peratus menikmati jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2024, manakala 42 peratus menyaksikan jualan yang stabil, disebabkan oleh permintaan berterusan dari luar negara walaupun ekonomi global masih tidak menentu.

Namun, berikutan peningkatan inflasi serta kos sara hidup pada separuh pertama 2024, indeks jualan tempatan terkini merosot sebanyak 5.8 peratus kepada 81 berbanding 86 sebelumnya, menunjukkan permintaan domestik yang lebih lemah.

“Kos pinjaman yang lebih tinggi telah mengekang kuasa beli. Faktor-faktor ini berkemungkinan menyebabkan penurunan dalam jualan tempatan kerana pengguna mengutamakan barangan keperluan berbanding pembelian mengikut budi bicara,” tambah Soh.

Melangkah ke separuh kedua 2024, perniagaan melihat adanya peluang untuk pengembangan produk dan pasaran.

“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menandatangani lebih banyak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), terutamanya dengan Kesatuan Eropah (EU) kerana kami perlu bersaing. 

“Sebagai pengeluar, kami perlu memperkukuh daya saing serta teknologi kami. Kami tiada pilihan. Vietnam telah memeterai FTA dengan EU, dan kami berharap Malaysia juga akan melakukannya kerana ini telah tertangguh sejak 10 tahun lalu,” tambah Soh.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan