EKONOMI

POWERWELL PEROLEH PESANAN BERNILAI RM9.78 JUTA BAGI PROJEK RTS LINK

02/09/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Powerwell Holdings Bhd (Powerwell) memperoleh dua pesanan pembelian bernilai RM9.78 juta bagi Pakej 2A Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Penyedia penyelesaian elektrik itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pesanan tersebut yang diterima daripada Raiden M&E Sdn Bhd adalah untuk Stesen RTS Link Bukit Chagar termasuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) di Johor Bahru serta Woodlands di Singapura.

Menurut Powerwell, pesanan itu adalah pembelian lanjutan bagi Pakej 4 (stesen dan pusat kawalan operasi) dan Pakej 6 (depot dan bekalan elektrik) projek tersebut yang merangkumi pemasangan kritikal di Depot Wadi Hana dan stesen RTS Link Bukit Chagar.

RTS Link, inisiatif infrastruktur penting yang dibangunkan untuk menambah baik hubungan rentas sempadan antara Johor Bahru, Malaysia dan Singapura, sedang berjalan lancar dengan pembinaan setakat ini telah siap lebih daripada 65 peratus di kedua-dua belah pihak.

”Apabila siap kelak, RTS Link akan dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, bagi melancarkan perjalanan ribuan penumpang setiap hari.

”Penyertaan Powerwell dalam projek RTS Link meneguhkan komitmennya untuk menyokong pembangunan infrastruktur utama yang meningkatkan kesalinghubungan serantau dan pertumbuhan ekonomi,” kata Powerwell.

RTS Link yang dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2026, bakal memainkan peranan penting dalam menambah baik dan melancarkan perjalanan penduduk dan barangan antara Malaysia dan Singapura, menjadikannya satu daripada projek infrastruktur rentas sempadan yang paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan