AM

184 USAHAWAN NEGERI SEMBILAN TERIMA KEMUDAHAN MARA BERNILAI RM21.5 JUTA SETAKAT OGOS

02/09/2024 10:08 PM

SEREMBAN, 2 Sept (Bernama) -- Sebanyak 184 usahawan di Negeri Sembilan telah menerima kemudahan disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melibatkan nilai keseluruhan RM21.5 juta setakat Ogos lepas, kata Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata pada tahun ini terdapat 16 skim pembiayaan perniagaan ditawarkan dan tiga geran padanan dengan peruntukan berjumlah RM23 juta disasarkan kepada 596 usahawan bumiputera.

MARA juga, katanya menyediakan 442 unit premis perniagaan di seluruh negeri ini dengan kadar sewaan berpatutan. 

"Sebanyak 171 usahawan wanita menyewa di premis MARA atau 38 peratus daripada keseluruhan lot premis yang disediakan manakala 72 usahawan wanita memperoleh kemudahan pembiayaan dengan nilai berjumlah RM8.5 juta setakat bulan lepas.

“Hal ini menunjukkan wanita juga antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemerkasaan Wanita 2024 di sini hari ini.

Jalaluddin berkata usahawan wanita bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga membawa perspektif, inovasi serta berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengesan segelintir peniaga menyalahgunakan pinjaman perniagaan untuk keperluan peribadi dan menggunakan kemudahan disediakan bukan atas urusan perniagaan.

"Sepatutnya kalau peniaga itu membuat pinjaman perniagaan, mereka perlu gunakan sepenuhnya untuk perniagaan, tetapi jika pinjaman terbabit digunakan untuk membeli barangan lain... itu amat dikesali.

"Kita bimbang jika mereka tidak mampu membayar semula pinjaman ia akan memberi kesan buruk kepada peniaga itu sendiri termasuk disenarai hitam serta tidak layak menerima kemudahan lain pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan