POLITIK

WANITA UMNO SERAH TIGA NAMA UNTUK PRK DUN MAHKOTA

02/09/2024 03:14 PM

IPOH, 2 Sept (Bernama) -- Wanita UMNO telah menyerahkan tiga nama daripada sayap parti itu kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sayap parti itu kini menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon bagi kerusi itu nanti.

"Kita mengharapkan yang terbaik dan kita harap sesiapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan, Wanita (UMNO) akan sokong, bantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon dan kalau sekiranya calon itu wanita, kita amat alu-alukan.

"Saya telah kemukakan calon (daripada Wanita UMNO) tetapi akhirnya keputusan itu keputusan kepimpinan, mengambil kira pelbagai faktor dan kita harapkan yang terbaik dan yang penting, Barisan Nasional (BN) menang di DUN Mahkota," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Wanita UMNO sudah mencalonkan individu daripada sayap parti itu bagi PRK DUN Mahkota.

Pada 22 Ogos lepas, Noraini berkata Wanita UMNO menuntut supaya calon yang bertanding bagi PRK DUN Mahkota dipilih daripada sayap berkenaan bagi meneruskan legasi penyandang yang juga Exco Wanita UMNO Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan