SUKAN

PARIS 2024: TERLAMPAU FIKIRKAN PINGAT BAWA PADAH BUAT FAREEZ

03/09/2024 06:38 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 2 Sept (Bernama) -- Terlampau memikirkan soal membawa pulang pingat pada penampilan sulung di Sukan Paralimpik Paris 2024 ternyata menjejaskan persembahan Muhammad Fareez Anuar dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal)  di sini, hari ini.

Biarpun menang set pertama 21-17 namun Fareez tidak berupaya mengekalkan momentum sebelum dikecewakan Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-19, 21-12 sekali gus menyaksikan pemain Indonesia itu membawa pulang gangsa  dari Porte de La Chapelle Arena.

Fareez mengakui dirinya diselubungi tekanan hebat sehingga tidak dapat menampilkan permainan sebenarnya ketika berdepan Dheva dan mengulangi persembahan menakjubkan ketika muncul juara Kumpulan B yang dianggap sebagai ‘kumpulan maut’.

“Apa yang membezakan antara saya dan Dheva adalah pengalaman lawan pernah beraksi di Tokyo 2020 dan paling penting saya tidak dapat mengawal diri.

“Saya memang agak keras kerana terlampau berharap (pingat gangsa) sehinggakan permainan saya serba tidak menjadi hari ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mengakui tekanan lebih kuat dialaminya ketika perlawanan separuh akhir menentang pemenang pingat perak dari Indonesia Suryo Nugroho, yang menyaksikannya tewas 12-21, 21-14, 6-21, semalam.

“Saya memang tak dapat nikmati permainan separuh akhir kerana ia paling tertekan kerana ketika itu saya memang fikir harapan untuk beraksi dengan Liek Hou di final kerana jika mara sah pingat dalam tangan,” katanya.

Walaupun sedih tidak dapat membawa pulang pingat buat negara namun pemain nombor empat dunia itu tetap bersyukur memperoleh pengalaman berharga beraksi dalam suasana pertandingan di peringkat tertinggi.

Selain berazam mengukuhkan daya ketahanan mentalnya selepas ini, Fareez juga tekad kembali bangkit dengan merangkul pingat pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Beliau memulakan kempen pada peringkat Kumpulan B dengan mengejutkan pilihan kedua, Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 sebelum melakukan dua kebangkitan hebat untuk menewaskan Dheva 14-21, 21-19, 21-19 dan pemain Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17.

Liek Hou menepati ramalan dengan mempertahankan emas dimenanginya menewaskan Suryo 21-13, 21-15 sekali gus menyumbang emas pertama buat kontinjen negara pada hari kelima Paris 2024.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan