JENAYAH & MAHKAMAH

PENOREH GETAH MENGAKU SALAH CEDERAKAN WARGA EMAS GUNA PARANG

03/09/2024 01:09 PM

TAIPING, 3 Sept (Bernama) -- Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki warga emas menggunakan parang, minggu lepas.

Muhammad Suhardi Din, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Suhardi didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Omar Besar, 68, menggunakan sebilah parang yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Seri Tasik Ganda, Temenggor, Gerik kira-kira 3.20 petang, 27 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Yan Ni memohon supaya tertuduh menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta kerana sepanjang siasatan dijalankan, dia didapati berkemungkinan dalam pengaruh dadah dan status kesihatan mental tidak berapa sihat.

Muhammad Suhardi yang tidak wakili peguam memaklumkan dia tinggal seorang diri dan tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan psikiatri daripada mana-mana hospital berhubung kesihatan mentalnya sebelum ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 1 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, pada 28 Ogos lepas media melaporkan seorang lelaki warga emas mengalami patah tulang lengan kiri selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Ganda, Gerik pada 27 Ogos.

Suspek yang mengenali mangsa dipercayai di bawah pengaruh dadah masuk secara tiba-tiba ke dalam rumah dan menyerang mangsa dengan melibas parang hingga mangsa mengalami luka dan patah tulang lengan kiri.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan