AM

DRAF MOU PERUNTUKAN PEMBANGKANG: AMAUN TIDAK DINYATA KERANA TERMA BELUM DIPERSETUJUI

03/09/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Langkah kerajaan tidak menyatakan amaun peruntukan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang adalah disebabkan terma dalam perjanjian itu masih belum dipersetujui oleh blok berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sekiranya pembangkang tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam MoU itu, mereka seharusnya menyatakannya melalui saluran betul iaitu perundingan, bukannya melalui media.

Beliau berkata sehingga kini kerajaan juga masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berkaitan draf MoU itu. 

“Terma itu belum dipersetujui, yang kita nak bincang pasal amaun, dan sepatutnya tak bolehlah pergi ke media, responslah kepada (kerajaan) draf itu dan nanti kita bincanglah sehingga bila kita setuju dan kita muktamadkan baru kita paparkan kepada media,” katanya. 

Beliau yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas menghadiri majlis Malaysian Law Students Legal Aid Convention 2024 di sini hari ini. 

Semalam Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15, bagi membolehkan mereka menerima peruntukan. 

Takiyuddin turut mendakwa tiada amaun peruntukan yang diletakkan dalam draf MoU tersebut.

Fadillah berkata syarat ditetapkan mengenai sokongan kepada kerajaan itu bertujuan memastikan kestabilan politik dalam negara dapat dicapai, sekali gus menghantar mesej kepada dunia dalam menarik lebih ramai pelabur. 

“...yang kita nyatakan ialah kita nak supaya tak ada lagi kita nak bercakap pasal nak jatuhkan kerajaan dan sebagainya. Sebab apa lebih utama untuk negara kita sekarang ialah kestabilan. 

“Jadi janganlah kita bercakap tentang nak menjatuhkan kerajaan apa semua, berhentikan… sebab kerajaan sekarang ini dah dapat sokongan dah ada dua pertiga sokongan dan dibuktikan di Parlimen,” katanya. 

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan