AM

KERAJAAN PERPADUAN TIDAK BERMAIN POLITIK DENGAN NEGERI PEMBANGKANG - FAHMI

03/09/2024 05:37 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya Kerajaan Perpaduan bermain politik dengan negeri-negeri pembangkang, adalah suatu yang tidak benar.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebaliknya menegaskan, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat termasuk di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri secara konsisten meluangkan masa untuk melawat negeri-negeri termasuk yang ditadbir pembangkang, serta mempercepatkan pelaksanaan projek-projek penting di negeri berkenaan.

“Perdana Menteri bukan hanya banyak meluangkan masa untuk melawat (tetapi juga) mengenal pasti masalah yang harus diatasi segera, malah mempercepat proses untuk melaksanakan projek,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebagai contoh, Fahmi merujuk kepada lawatan Perdana Menteri ke Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan baru-baru ini dan beliau meninjau masalah di kawasan berhampiran Sungai Golok dan mengarahkan beberapa projek dipercepatkan.

Semalam, Muhammad Sanusi dilapor mendakwa menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan masih mengamalkan sentimen politik tebal dengan negeri pembangkang, yang membataskan kerjasama kerajaan negeri dengan Persekutuan terutama dalam sektor tertentu, khususnya di peringkat kementerian.

Fahmi juga menjelaskan bahawa Perdana Menteri dari awal menyatakan bahawa tidak perlu ada sentimen politik dalam menguruskan pembangunan termasuk di negeri-negeri ditadbir pembangkang. 

“Sebagai anggota pentadbiran, kita perlu mengutamakan kemaslahatan umum dan memastikan bahawa rakyat di bawah jagaan mendapat manfaat semaksimum mungkin,” katanya. 

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan