AM

KERAJAAN TIDAK SEKAT KEBEBASAN BERSUARA SEPERTI DIDAKWA TUN M - FAHMI

03/09/2024 06:19 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan tidak pernah bersikap seperti 'abang besar' untuk menyekat kebebasan bersuara seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas kerana Kerajaan Perpaduan tidak pernah sama sekali menghalang atau menyekat Dr Mahathir untuk membuat sebarang kenyataan, atau hadir ke mana-mana acara.

“Dia masih bebas bergerak, dia masih bebas hadir atau tidak, dan dia masih bebas mengeluarkan kenyataan," katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) mencadangkan agar Dr Mahathir mencermin kembali pendekatan diambil pentadbirannya sewaktu menjadi Perdana Menteri, yang jelas seperti 'langit dan bumi' jika dibandingkan dengan kebebasan yang diberikan kerajaan kini. 

“Bukan tempat saya untuk menasihati beliau, tetapi waktu itu (pentadbiran Dr Mahathir) saya ingat (ada) akhbar ditutup, orang yang berdemonstrasi di jalan raya dipukul, ditangkap, ditendang dan dipenjara.

"Kira-kira 26 tahun lepas, seorang Timbalan Perdana Menteri dilucutkan jawatan dan kemudian diheret sama ada ke mahkamah ataupun dipukul dalam tahanan... itu semua berlaku zaman Dr Mahathir, bukan zaman sekarang," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan mendakwa rakyat Malaysia kini tidak bebas bersuara kerana tidak boleh bercakap berkenaan isu 3R iaitu agama, kaum, dan institusi diraja.

Bekas Perdana Menteri itu juga membandingkan situasi sekarang dengan zaman penjajahan British, di mana rakyat lebih bebas untuk menyuarakan pendapat melalui media, forum, dan demonstrasi tanpa perlu mendapat kelulusan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan