AM

SEREMBAN ANTARA ENAM TEMPAT TERTINGGI KES PENIPUAN DALAM TALIAN

03/09/2024 06:31 PM

SEREMBAN, 3 Sept (Bernama) -- Seremban merupakan daerah keenam tertinggi di negara ini membabitkan kes penipuan dalam talian sepanjang tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata Seremban merekodkan 701 kes manakala Nilai juga mencatatkan rekod membimbangkan dengan 434 kes di kedudukan ke-15 dalam negara.

Beliau berkata sebanyak 1,710 kes membabitkan penipuan atas talian telah dicatatkan dengan nilai kerugian sebanyak RM47.1 juta di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding  2,024 kes penipuan melibatkan kerugian sebanyak RM40.9 juta pada tahun lepas.

"Walaupun jumlah kes penipuan ini menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus, tetapi jumlah kerugian yang dialami adalah tinggi iaitu meningkat lebih daripada RM6.2 juta yang mengambarkan bahawa kes seumpama ini masih membimbangkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Program Townhall Discussion, Cybercrime Threat#Saynotoscam Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata masyarakat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan setiap panggilan diterima kerana kumpulan sindiket penipuan ini akan memanipulasi mangsa sehingga membuatkan seseorang itu berasa panik sebelum terpedaya dengan tipu helah mereka.

"Orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran lumayan di dalam media sosial, sentiasalah mengambil tahu prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang berkaitan dengan transaksi urusan bank atau urus niaga dalam talian.

"Kita perlu sentiasa ingat, pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon," katanya.

Beliau berkata masyarakat dinasihatkan supaya lebih peka dan mengamalkan sikap semak dan tanya dalam urusan yang tidak pasti bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan