EKONOMI

AIRASIA LANCAR PENERBANGAN KL-LABUAN BAJO, TINGKATKAN AKSES HAB PELANCONGAN INDONESIA

03/09/2024 09:20 PM

Daripada Norhayati Mohd Akhir

LABUAN BAJO (Indonesia), 3 Sept (Bernama) -- Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo, yang diterbangkan oleh Kapten Ng Foo Yee mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo hari ini, menandakan pengembangan syarikat penerbangan itu ke destinasi baharu di ASEAN.

Penerbangan AirAsia AK336 menggunakan pesawat Airbus A320, berlepas dari Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.55 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo pada 2.30 petang waktu tempatan, dengan jumlah penumpang yang hampir penuh.

Dahulunya dikenali sebagai Lapangan Terbang Labuan Bajo Mutiara, Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo berfungsi sebagai pintu masuk utama ke Labuan Bajo iaitu tapak Warisan Dunia UNESCO dan salah satu keajaiban dunia yang luar biasa.

Ketibaan pesawat itu disambut dengan pancutan air sebagai simbol penghormatan dan para penumpang menerima cenderahati istimewa.

Semasa majlis sambutan di lapangan terbang, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata penerbangan secara terus itu adalah satu langkah penting dalam menyokong matlamat pelancongan Indonesia yang bercita-cita tinggi memandangkan Labuan Bajo merupakan salah satu daripada lima destinasi pelancongan paling utama negara itu.

“Kerajaan Indonesia menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong dengan harapan melebihi 500,000 pengunjung dalam tahun ini.

“Kami (AirAsia) komited untuk menyumbang kepada pembangunan berterusan di Labuan Bajo sebagai destinasi bertaraf dunia dengan menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelancong dari seluruh dunia,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara AirAsia dan kerajaan Indonesia, Fareh menyifatkan ia penting untuk mencapai sasaran yang ditetapkan untuk Labuan Bajo dan memastikan statusnya sebagai hab pelancongan utama.

"Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran penting kami dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan AirAsia Indonesia untuk meningkatkan pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.

Sebelum ini, AirAsia dilaporkan melancarkan penerbangan terus antara T2 KLIA dan Labuan Bajo tiga kali seminggu, bermula hari ini dengan menggunakan pesawat A320.

Syarikat penerbangan tersebut menawarkan tambang istimewa termasuk semua serendah RM179 sehala.

Dikenali sebagai "Kota Matahari Terbenam," Labuan Bajo terletak di Nusa Tenggara Timur dan salah satu daripada 10 destinasi pelancongan terunggul di Indonesia dan dipromosikan sebagai "Destinasi Melangkaui Bali" oleh kerajaan Indonesia.

Labuan Bajo adalah pintu masuk ke Taman Negara Komodo yang terkenal dan ia  juga merupakan destinasi utama di Indonesia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan