SUKAN

PARIS 2024: SURESH BERAKSI DENGAN PEMEGANG BUSUR ASAL ESOK

04/09/2024 01:06 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 3 Sept (Bernama) -- Jaguh memanah para negara S Suresh akan menggunakan pemegang busur asal untuk beraksi dalam pusingan penyingkiran 1/16 acara recurve lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024 di Invalides, di sini esok.

Suresh dijadual berdepan wakil Amerika Syarikat Eric Bennett yang pernah ditewaskannya ketika muncul juara dunia 2019 di Belanda.

Pemanah berusia 31 tahun itu berkata keputusan menggunakan pemegang busur asal berikutan masih belum serasi dengan pemegang busur baharu yang direka khas hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pusat kecemerlangan Institut Sukan Negara (ISN), yang diterimanya Jun lepas.

“Sebenarnya saya sudah cuba (pemegang busur baharu) namun tidak sesuai. Jadi terpaksa tukar balik kepada yang asal.

“Pemegang busur baharu boleh beri impak kepada saya tapi ia akan mengambil masa, saya tak dapat sesuaikan diri lagi dalam masa singkat sebegini. Sudah bincang dengan jurulatih (untuk) gunakan yang lama,” katanya ketika ditemui di sini.

Khamis lepas, Suresh menamatkan pusingan ranking dengan kedudukan ke-12 selepas mencatatkan 625 mata dan memperbaharui catatan musim terbaiknya iaitu 596 mata dilakukan pada saingan Ranking Memanah Para Dunia di Republik Czech, Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan