FOKUS BERNAMA

MISKIN TEGAR: APAKAH IMPIAN DAN HARAPAN RAKYAT SABAH SUDAH TERKUBUR?

04/09/2024 12:17 PM


From Fadzli Ramli & Arthur Edward

Jarak lebih 200 kilometer memisahkan dua orang ketua keluarga ini namun mereka mendepani keperitan masalah yang sama iaitu miskin tegar, satu realiti pahit di Negeri di Bawah Bayu yang dapat penulis selami menerusi perkongsian Amad Ranton dan Ibrahim Mubarak.

Amad, 41, meneruskan kelangsungan hidup sebagai seorang nelayan di Pulau Banggi yang terletak kira-kira 40 km dari pekan Kudat di utara Sabah, sementara Ibrahim, 38, buruh binaan, bermandi keringat, mencari rezeki untuk menyara keluarga yang tinggal di kawasan setinggan di tengah-tengah bandar raya ini. 

Masing-masing menghadapi halangan berbeza untuk keluar dari kepompong kemiskinan tegar, kerana bagi Amad, keterpencilan serta akses terhad kepada perkhidmatan asas di Pulau Banggi menjadi kekangan, manakala Ibrahim pula berdepan kos sara hidup yang semakin melambung sementelah pendapatannya tidak seberapa.

Hakikatnya, kemiskinan tegar di Sabah merupakan isu yang amat kompleks, lantaran pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan di negeri ini sejak pembentukan Malaysia 61 tahun dulu, dilihat kurang membawa impak yang diharapkan.

 

KEKURANGAN PELUANG

Kehidupan Amad di Pulau Banggi tidak ubah seperti sebuah pertarungan harian melawan kemiskinan tegar. Rumah yang menjadi tempat berlindung bersama isteri serta lima orang anak ini hanya mempunyai satu ruang, di situlah tempat tidur dan tempat makan dan untuk keperluan lain. Ada sebuah beranda kecil di belakang rumah yang dijadikan dapur.

Kelihatan begitu usang, rumah itu adalah antara sekitar 200 buah rumah papan dan ada yang beratap rembia, kebanyakannya dibina di atas air, saban waktu terdedah kepada cuaca dan angin kencang.

pic-2

Dari keturunam etnik dusun Bonggi ini, setiap hari dia perlu bangun awal pagi untuk menyediakan peralatan menangkap ikan yang serba kekurangan untuk hari yang melelahkan di laut namun masih ada rasa bersyukur.

“Sebagai seorang nelayan dan seorang bapa, setiap matahari terbit itu membawa harapan untuk saya memperoleh pendapatan, tetapi juga membawa kesukaran yang bakal saya tempuhi. Harapan sudah tentunya dapat rezeki tangkapan yang mencukupi,” katanya kepada penulis. Dua daripada lima orang anaknya, masing-masing berusia 11 tahun dan 8 tahun masih bersekolah. Dua lagi yang berusia 12 tahun dan 15 tahun tidak bersekolah, sebaliknya mengikuti ayah mereka ke laut. 

Amad bergantung sepenuhnya kepada hasil laut dan dengan bot yang uzur, cuaca tidak menentu, sering kali hasil tangkapan ikan kurang daripada yang diharapkan. Keadaan ini menjadikan setiap hari yang dilaluinya penuh ketidakpastian.

“Kalau cuaca baik, bolehlah dapat RM100 ke RM200. Tetapi bila cuaca buruk, tengkujuh melanda, tak ada langsung pendapatan, dapur pun susah nak berasap,” tambahnya.

Sebagai bapa, dia impikan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anaknya, namun, realiti kedaifan Pulau Banggi dari segi infrastruktur khususnya, membuatkan Amad kembali "terjaga”. Masakan tidak, pendapatannya tidak seberapa, manakan cukup untuk menampung impiannya kerana tangkapannya dibeli pada harga yang rendah oleh peraih kerana hasil laut itu perlu diangkut peraih ke Kota Kinabalu untuk dijual. 

 

DIHIMPIT KEHIDUPAN

Di tengah kota raya Kota Kinabalu ini, Ibrahim tinggal di rumah setinggan yang didirikan di atas tanah orang. Berdindingkan kayu buruk penuh lubang, rumah itu jelas tidak memberikan perlindungan daripada elemen alam sekitar.  

Memang ada peluang tersisa di sini, tetapi kos hidup tinggi melangit. Kerja buruh binaan dengan gaji harian yang tidak tetap begitu mencabar hidup Ibrahim untuk menanggung keluarganya.

pic-3

“Di sini, persaingan kerja sengit. Saya dan kawan-kawan yang tiada kemahiran memang susah nak dapat kerja yang boleh bantu kami keluar daripada keperitan hidup,” kata Ibrahim yang mempunyai tiga orang cahaya mata. Syukur isterinya dapat membantu menambah pendapatan keluarga, antaranya mengambil upah menjahit dan mengopek buah kelapa.

Walaupun Ibrahim saban waktu memerah keringat, pendapatannya hanya sekitar RM50 hingga RM60 sehari. Jauh daripada mampu menanggung kos sewa rumah apatah lagi membelinya. Bila projek pembinaan tamat, dia terpaksa mencari tapak pembinaan baharu untuk mendapatkan pekerjaan untuk kelangsungan hidup.

Ibrahim bukan saja perlukan bantuan kewangan. Dia perlukan tempat tinggal mampu milik, namun harga rumah meningkat saban tahun sementara gaji pula di takuk lama.

Kalau ada program latihan kemahiran, mungkin Ibrahim boleh dapat kerja yang lebih baik, dengan gaji yang lebih lumayan. Kitaran kerja bergaji rendah ini perlu diputuskan kalau dia hendak keluar daripada kepompong kemiskinan itu.

Tambahan pula, jika ada sistem sokongan sosial yang lebih baik seperti perkhidmatan penjagaan anak dan kesihatan, mungkin Ibrahim boleh fokus kepada meningkatkan taraf hidupnya.

 

CABARAN BESAR 

Hakikatnya, kisah Amad dan Ibrahim ini hanyalah secebis kisah kehidupan ribuan lagi rakyat Sabah dan mereka bukan warga Malaysia yang dikatakan malas berusaha.

Pada Julai tahun ini, seramai 22,510 ketua isi rumah yang berada dalam senarai miskin tegar sehingga 31 Januari 2023 berjaya dikeluarkan daripada status itu melalui Fasa Satu, Program Menoktahkan  Kemiskinan Tegar di negeri ini.

Berdasarkan statistik daripada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Jabatan Ketua Menteri Sabah yang diberi tanggungjawab melaksanakan intervensi bantuan bagi mendepani isu miskin tegar ini, masih terdapat seramai 4,634 ketua isi rumah yang berada dalam status miskin tegar ketika ini.

pic-4

Angka 4,634 ketua isi rumah ini termasuk permohonan baru berdaftar dalam sistem eKasih, tidak berdaftar dan perubahan status miskin kepada miskin tegar. Bilangan ini dilaporkan akan ditangani di bawah Fasa Dua Program Menoktahkan Miskin Tegar negeri Sabah.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 miskin tegar bagi negeri Sabah ialah RM1,218 untuk  isi rumah dan RM288 per kapita.

Menurut Sekretariat itu juga, walaupun terdapat banyak program intervensi dilakukan, ia berdepan cabaran besar terutama bilangan isi rumah miskin tegar yang ramai, iaitu purata lebih enam orang, menyebabkan pendapatan diterima tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan keluarga.

 

MEMAHAMI MASALAH

Masalah kemiskinan merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan dan inilah yang ditekankan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Menurut beliau, terdapat beberapa punca utama kemiskinan yang amat memerlukan perhatian serius dan memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada masalah itu iaitu faktor pendidikan, pembangunan infrastruktur dan lokasi geografi.

Justeru beliau menegaskan, pengumpulan data kemiskinan yang lebih terperinci adalah langkah penting dalam merancang penyelesaian yang lebih efektif.

Berdasarkan laporan daripada Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) pada 2022, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi Sabah adalah pada RM6,171 lebih rendah daripada peringkat nasional iaitu RM8,479.

Laporan itu menyatakan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi Sabah jauh lebih rendah berbanding lima tertinggi di negara ini iaitu Putrajaya pada RM13,473; Kuala Lumpur (RM13,325); Selangor (RM12,233); Johor (RM8,517); dan Pulau Pinang (RM8,267).

Laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu juga memberitahu tahap insiden kemiskinan tegar Sabah adalah pada 1.2 yang merupakan tertinggi di negara ini, jauh lebih tinggi berbanding peringkat nasional pada 0.2.

Sebagai perbandingan tahap 1.2 dicatat Sabah itu juga jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan Kelantan pada 0.8, Sarawak (0.4), Kedah (0.3), Perak (0.2), Terengganu (0.2), manakala negeri-negeri lain pada tahap 0.1.

Kitingan mengakui bahawa kemiskinan tegar adalah antara cabaran terbesar dihadapi kerajaan Sabah kini. Golongan berkenaan sering kali memerlukan sokongan lebih besar daripada kerajaan kerana mereka tidak mempunyai keupayaan untuk keluar sendiri daripada cengkaman kemiskinan.

Beliau menambah, penyelesaian juga boleh dicapai melalui penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar itu di samping pelbagai bantuan lain seperti penyediaan rumah dan bantuan khas untuk golongan kurang upaya.

 

MENYUSUN JALAN KELUAR

Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berpandangan, tumpuan utama yang turut diperlukan adalah pembangunan infrastruktur dan ekonomi.

Menurut beliau, pelaburan dalam bidang ini sememangnya memerlukan peruntukan yang besar tetapi juga mampu menjana pelbagai industri seperti pelancongan.

“Infrastruktur yang baik akan menarik pelabur asing, yang seterusnya akan mengaktifkan pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan, sekali gus membantu mengurangkan kemiskinan di Sabah,” katanya menambah, dengan pelbagai cabaran yang ada, semua pihak, tanpa mengira parti politik, wajar bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menangani isu kemiskinan tegar.

pic-5

"Kita adalah satu pasukan, pasukan Sabah. Walaupun pelbagai projek telah dilaksanakan, masih banyak yang perlu dilakukan, " tegasnya.

Kitingan juga yakin bahawa dengan fokus yang tepat dan peruntukan yang mencukupi, Sabah mampu mengatasi apa juga cabaran kemiskinan tegar itu dan menikmati kemajuan yang lebih baik.

Hakikatnya, Negeri di Bawah Bayu ini perlu membebaskan diri daripada terus dikuasai kemiskinan tegar untuk membuka jalan kepada kemajuan dan kesejahteraan yang sebenar.

Hanya dengan mengusir “penjajah” ini, barulah Sabah mampu mencapai potensi penuhnya dan menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyatnya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

Sebahagian besar rakyat di Sabah masih “dijajah” kemiskinan tegar sekalipun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif. Artikel pertama daripada laporan tiga bahagian ini menyelami isu yang menindas impian dan harapan mereka untuk meningkatkan taraf hidup. 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan