AM

PM NEW ZEALAND PUJI POTENSI MALAYSIA, PERKUKUH HUBUNGAN DUA NEGARA

04/09/2024 11:56 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon mengakhiri lawatan rasminya ke Malaysia pada Selasa dan kunjungannya bukan sahaja membabitkan urusan rasmi, tetapi turut mendalami budaya dan warisan sejarah negara termasuk menikmati hidangan tempatan.

Berbeza dengan lawatan rasmi pemimpin asing sebelum ini, lawatan Luxon menampilkan sesuatu yang benar-benar unik.

Interaksi Luxon dengan rakyat Malaysia turut menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk yang mengulas mengenai kemas kini akaun rasmi Luxon di platform X dengan berkata, “Saya suka PM baharu NZ. Sikap yang positif dan berinteraksi terus dengan orang ramai. Inilah caranya!”

Melawat tempat-tempat ikonik di Kuala Lumpur hingga berinteraksi dengan usahawan tempatan yang juga pempengaruh terkenal Khairul Aming, lawatan Luxon menonjolkan kepentingan strategik Malaysia terhadap masa depan New Zealand di Asia Tenggara.

Dalam video berdurasi 51 saat yang dimuat naik di akaun X beliau, Luxon berkata lawatan itu memberi pandangan yang berharga mengenai peluang kerjasama antara kedua-dua negara.

Beliau menekankan kepentingan Asia Tenggara, khususnya Malaysia sebagai rantau utama bagi kepentingan ekonomi dan strategik New Zealand.

"Hampir 70 tahun berlalu, Malaysia masih berkembang dan terus mengorak langkah ke hadapan. Dua hari yang sangat bermakna di sini, melihat perniagaan New Zealand seperti Skyline Luge dan Jump Jam benar-benar berkembang di sini.

"Malaysia, bersama negara-negara Asia Tenggara yang lain menawarkan begitu banyak potensi untuk New Zealand, sama ada dalam perdagangan, pertahanan atau hubungan rakyat dengan rakyat.

“Adalah penting kita saling berhubung dan membina hubungan di sini,” katanya menerusi video itu.

Pemimpin itu juga menekankan keperluan penglibatan aktif New Zealand dengan pasaran antarabangsa yang dinamik untuk meningkatkan ekonomi domestiknya.

"Seperti yang sering saya katakan, New Zealand tidak akan menjadi lebih kaya hanya dengan menjual barangan sesama sendiri. Kita perlu keluar, berusaha dan berdagang dengan pasaran yang dinamik seperti ini.

"Semakin berjaya kita di luar negara, semakin kukuh ekonomi kita di dalam negara, dengan lebih banyak pelaburan, pendapatan lebih tinggi dan perkhidmatan awam yang lebih baik seperti kesihatan dan pendidikan," katanya.

Luxon turut bertemu dengan usahawan terkemuka Malaysia dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman.

Khairul yang terkenal dengan kandungan kulinari dan kepakaran perniagaannya, mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri itu dan menyuarakan harapannya agar hubungan dua hala antara Malaysia dan New Zealand terus berjaya.

“Adalah satu penghormatan menerima kunjungan Perdana Menteri Luxon. Saya berharap lawatan ini membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama antara kedua-dua negara kita,” kata Khairul di platform media sosialnya, sambil menekankan potensi pertukaran budaya dan perniagaan.

Khairul turut menyebut bahawa pertemuan yang diadakan di restoran Hidang KL itu sebagai tanda penghargaan dari New Zealand atas kunjungannya ke negara itu baru-baru ini bagi menghasilkan video masakan.

Pempengaruh bidang masakan itu turut memperkenalkan sajian ‘ikonik’ sarapan Malaysia, termasuk nasi lemak, roti jala dan teh tarik kepada pemimpin New Zealand itu.

Lawatan rasmi Luxon juga merangkumi pertemuan dengan pemimpin perniagaan tempatan dan pegawai kerajaan, dengan beliau menekankan kepentingan pelaburan bersama.

Dari segi perniagaan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melaporkan hasil signifikan daripada lawatan Luxon iaitu perjanjian untuk meneroka usaha sama dalam teknologi hijau dan pembangunan mampan.

Semasa lawatan itu, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk mempromosikan kelestarian dan menangani cabaran alam sekitar global melalui usaha sama ini.

“New Zealand dan Malaysia berkongsi visi yang sama untuk masa depan yang mampan dan saya teruja dengan kemungkinan yang terbentang di hadapan.

"Hubungan yang kita bina di sini amat bernilai dan saya yakin lawatan ini akan menjadi permulaan lembaran baharu dalam hubungan New Zealand-Malaysia,” katanya.

Lawatan pertama Luxon ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada November 2023 menjadi asas bagi kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara, dengan kedua-dua pihak menantikan masa depan yang menjanjikan pertumbuhan dan kemakmuran bersama.

Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 terbesar dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan New Zealand bernilai RM11.56 bilion (US$2.54 bilion).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan