DUNIA

PENJUALAN EKUITI GLOBAL BERI TEKANAN KEPADA BURSA MALAYSIA PADA TENGAH HARI

04/09/2024 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Penjualan ekuiti di peringkat global terus memberi tekanan kepada Bursa Malaysia pada tengah hari.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.25 mata kepada 1,671.40, turun daripada 1,676.65 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka pada 1,662.65, jatuh 14 mata.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 774 berbanding 243, dengan 382 kaunter tidak berubah, 1,042 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.84 bilion unit yang bernilai RM1.42 bilion.

Seorang penganalisis berkata pelabur bimbang mengenai potensi kelembapan ekonomi global berikutan data pembuatan terbaru Amerika Syarikat yang lebih rendah daripada jangkaan.

"Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ISM AS meningkat kepada 47.2 daripada 46.8 pada Julai tetapi jauh daripada jangkaan pasaran iaitu pada 47.5.

“Ketidaktentuan ini juga telah menyebabkan penurunan mendadak harga minyak, mencecah paras terendah bagi tempoh sembilan bulan,” katanya.

Beliau berkata pasaran kini memantau dengan teliti laporan gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan Jumaat ini untuk mendapatkan gambaran mengenai keputusan dasar monetari AS pada masa hadapan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.74, Public Bank turun empat sen kepada RM4.76, CIMB susut enam sen kepada RM8.19, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM15.04 dan IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM6 .39.

Bagi saham aktif pula, TWL dan Talam Transform masing-masing tidak berubah kepada 2.5 sen dan 3.0 sen, Vetece susut empat sen kepada 55.5 sen dan Elridge Energy jatuh dua sen kepada 42 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 59.57 mata kepada 12,438.05, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 62.77 mata kepada 12,248.56 dan Indeks FBMT 100 susut 51.56 mata kepada 12,138.70.

Indeks FBM 70 turun 124.34 mata kepada 17,392.15, manakala Indeks FBM ACE susut 65.06 mata kepada 5,159.74.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 59.86 mata kepada 19,602.15, Indeks Perladangan jatuh 33.66 mata kepada 7,214.37, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.57 mata kepada 178.39 dan Indeks Tenaga berkurangan 14.92 mata kepada 901.66.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan