AM

ASPEK KESELAMATAN, KESIHATAN PEKERJAAN PERLU DIJADIKAN BUDAYA KERJA - LEE

04/09/2024 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) perlu dijadikan sebahagian amalan penting di tempat kerja bagi mewujudkan tenaga kerja lebih sihat, bermotivasi dan produktif yang boleh membawa kepada ekonomi makmur serta berdaya tahan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) Tan Sri Lee Lam Thye berkata ini memandangkan ratusan kemalangan berlaku di tempat kerja setiap bulan dan jika tidak dibendung boleh mendatangkan musibah yang tidak dapat diterima dari segi eknonomi, sosial serta moral.

“Jumlah keseluruhan kemalangan berkaitan kerja pada 2023 dilaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) ialah sebanyak 82,876 berbanding 72,149 pada tahun sebelumnya manakala jumlah keseluruhan kemalangan maut berkaitan kerja pula sebanyak 1,060 berbanding 932.

“Data Perkeso pada 2023 juga menunjukkan pertubuhan itu membayar pampasan untuk kemalangan berkaitan kerja melebihi RM1.39 billion manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini jumlah pampasan hampir RM718 juta,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas Lee lagi, syarikat yang melaksanakan langkah KKP dapat mengurangkan kos berkaitan kemalangan seperti perbelanjaan perubatan, pampasan serta yuran guaman dan dengan simpanan ini boleh dilaburkan semula ke dalam perniagaan.

Selain itu, beliau berkata tempat kerja yang selamat juga dapat mengurangkan kejadian kemalangan, kecederaan dan penyakit yang boleh menyebabkan pengambilan cuti kecemasan sekali gus meningkatkan kecekapan kerana pekerja dapat melaksanakan tugas tanpa rasa takut akan kecederaan atau penyakit.

“Dengan memastikan tempat kerja selamat dan sihat, syarikat juga menyumbang kepada kemampanan jangka panjang perniagaan mereka dan menyumbang terhadap kemajuan ekonomi yang lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan