AM

KPJ HEALTHCARE LANTIK PROF EMERITUS DATUK DR LOKMAN SAIM SEBAGAI KETUA PENGARAH PERUBATAN

01/01/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad melantik Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim sebagai Ketua Pengarah Perubatan (CMD) yang pertama, berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini kumpulan itu memaklumkan sebagai Ketua Pengarah Perubatan, beliau akan mengetuai usaha untuk menyelaraskan operasi klinikal dengan matlamat strategik Sistem Kesihatan KPJ, yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan untuk mencapai kecemerlangan dalam hasil keputusan pesakit.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pelantikan itu menandakan satu langkah penting bagi KPJ Healthcare.

“Dengan kepakaran yang luas, kepimpinan yang sudah terbukti dan sumbangan luar biasa kepada kumpulan, Prof Lokman bersedia sepenuhnya untuk memikul peranan penting ini, adalah yang pertama untuk KPJ.

“Sebagai ahli lama dalam Pasukan KPJ, beliau membawa pemahaman yang mendalam tentang operasi dan nilai-nilai kami, memastikan kesinambungan dan kekuatan dalam kepimpinan,” katanya.

Chin berkata pelantikan Ketua Pengarah Perubatan mencerminkan komitmen teguh kumpulan itu untuk meningkatkan penjagaan berpusatkan pesakit, memajukan tadbir urus klinikal dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diberikan kepada pesakit, pekerja dan komuniti.

Beliau berkata ia juga mengukuhkan keazaman KPJ Healthcare untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan swasta dan memacu kemajuan bermakna dalam industri.

Chin berkata pelantikan itu turut menekankan strategi KPJ Healthcare untuk meletakkan fungsi klinikal sebagai komponen teras operasi mereka, bagi memastikan integrasi yang lancar dengan objektif keseluruhan kumpulan.

Kenyataan itu memaklumkan Dr Lokman mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam perubatan klinikal, kepimpinan akademik, dan inovasi perubatan.

Beliau merupakan perintis dalam bidang otologi dan neurotologi di Malaysia, dengan memperkenalkan pembedahan implan koklea ke negara ini dan menubuhkan Pasukan Implan Koklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa beliau yang mempunyai pendekatan pelbagai disiplin telah menetapkan piawaian baharu untuk penjagaan kesihatan pendengaran, sekali gus memperbaiki kehidupan pesakit yang mengalami masalah pendengaran.

Selain daripada pencapaian klinikalnya, Dr Lokman telah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti KPJ Healthcare (KPJU) sejak 2012.

Sebelum ini, beliau pengasas Dekan Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, yang memimpin usaha untuk mengintegrasikan pendidikan perubatan, penyelidikan dan perkhidmatan hospital sebagai sebahagian daripada misinya untuk menubuhkan sebuah pusat perubatan akademik.

Semasa berkhidmat di KPJU, beliau memainkan peranan penting dalam menyelaraskan pendidikan dan latihan dengan keperluan kumpulan, memastikan aliran berterusan profesional penjagaan kesihatan yang mahir.

Sumbangan beliau dalam latihan pembedahan dan bengkel pembedahan mikro telah memajukan keupayaan tenaga kerja penjagaan kesihatan Malaysia dengan signifikan.

Menurut kenyataan itu, peranan semasa Dr Lokman sebagai Naib Canselor KPJU akan diserahkan kepada lantikan baharu dan butiran lanjut akan diumumkan kelak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan