JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN DISYAKI SELUDUP PENDATANG ASING

04/09/2024 04:16 PM

KOTA BHARU, 4 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar bersama isteri dan kakaknya bagi membantu siasatan kes penyeludupan pendatang tanpa izin di rumah mereka di Kampung Batu Karang, Rantau Panjang, di Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata sebelum itu, lelaki berusia awal 20-an terbabit membuat laporan palsu pada 10.23 malam tadi menyatakan dia, isteri dan anaknya disamun lima lelaki serta seorang wanita bertopeng di rumah mereka, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Lelaki berkenaan mendakwa seorang daripada suspek bertindak mengacukan pisau di leher anaknya dan mengugut meminta duit RM10,000.

"Berikutan kejadian itu, tangkapan terhadap tiga daripada enam suspek berjaya dijalankan dengan bantuan penduduk membabitkan warganegara Myanmar berusia antara 18 hingga 20 tahun dengan kesan cedera akibat dipukul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya siasatan mendapati berlaku percanggahan kejadian samun sebagaimana yang dilaporkan lelaki itu dan polis mendapati dia telah menggunakan kediamannya untuk dijadikan rumah persembunyian kepada pendatang tanpa izin.

Kama Azural berkata lelaki terbabit mereka cerita dengan mengatakan telah disamun apabila kesemua pendatang tanpa izin melarikan diri ke kediamannya.

Beliau berkata susulan itu, lelaki itu bersama isteri serta kakaknya ditahan kerana disyaki terlibat penyeludupan pendatang tanpa izin dengan menyediakan rumah mereka sebagai lokasi persembunyian.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan