AM

MPOB KAJI PENGGUNAAN TEKNOLOGI RT-ECO RAWAT EFLUEN KELAPA SAWIT

04/09/2024 06:33 PM

BANTING, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang mengkaji penggunaan teknologi RT-ECO iaitu Rawatan Efluen Kilang Kelapa Sawit (POME) dalam memastikan kemampanan pengeluaran sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata teknologi rawatan efluen diperoleh daripada Singapura itu dirasakan sesuai dalam memenuhi permintaan pasaran berhubung pemeliharaan alam sekitar. 

"Dalam industri sawit hari ini kita berdepan dengan isu alam sekitar. Dunia kalau nak beli minyak sawit kita ataupun industri lain yang melibatkan efluens, dia akan melihat bagaimana kita buat rawatan efluens ini. 

"Ini merupakan salah satu daripada strategi yang kita galakkan daripada inovasi baharu untuk melihat bagaimana kita membersihkan efluen sebelum ia disalurkan ke longkang," katanya pada sidang media selepas lawatan ke kilang contoh yang menempatkan teknologi itu di sini hari ini. 

Beliau berkata arahan telah diberikan kepada MPOB untuk melihat keberkesanan teknologi penapisan efluen berkenaan yang disasarkan penggunaannya untuk pengilang kecil sawit. 

"Saya sudah mengarahkan MPOB untuk mengkaji teknologi itu terutama berkaitan ketahanan dan keberkesanannya sebelum ia diperluaskan ke kilang sawit tempatan lain," katanya.

RT-ECO dikendalikan oleh syarikat Merujaya POME Solutions Sdn Bhd menggunakan teknologi elektrokimia dalam menapis efluen sawit dalam memastikan sisa yang dihasilkan ketika pengeluaran selamat dan boleh digunakan semula oleh kilang sekali gus mematuhi standard kemampanan dunia. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan