EKONOMI

NESTLE MALAYSIA UTAMAKAN RAKYAT TEMPATAN ISI PELUANG PEKERJAAN

04/09/2024 09:58 PM

SHAH ALAM, 4 Sept (Bernama) -- Nestle Malaysia mengamalkan dasar mengutamakan rakyat tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan di setiap kilangnya dalam memastikan kualiti semua produknya terjaga.

Pegawai Eksekutif Perniagaannya bagi Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh berkata 100 peratus daripada kira-kira 1,000 pekerjanya di kilang Batu Tiga, di sini, yang turut mengeluarkan produk mi segera terkenal jenama Maggi, terdiri daripada warga tempatan.

“Pekerja kilang di sini terdiri daripada operator, juruteknik, pemandu forklift dan pasukan jaminan kualiti,” katanya pada Program Lawatan Media Ke Kilang Nestle Batu Tiga, baru-baru ini.

Sejak 1971, kilang di Batu Tiga ini menjadi tonggak utama pengeluaran mi segera Maggi dalam negara yang mematuhi piawaian kawalan kualiti dan standard halal tertinggi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Setakat ini Nestle mempunyai dua buah kilang yang mengeluarkan mi segera Maggi iaitu di Batu Tiga, Shah Alam Selangor dan di Demak Laut, Kuching, Sarawak.

Ivy berkata, setiap hari kilang di Batu Tiga menghasilkan 2.5 juta pek Mi Maggi 2-Minit yang akan dieksport ke lebih 20 negara dan memastikan proses pengeluaran sentiasa mengutamakan bahan dan sumber tempatan.

Mi segera Maggi dieksport ke seluruh dunia termasuk Asia Tenggara, Australia, United Kingdom dan Korea Selatan.

Menurutnya, kilang di Batu Tiga itu telah diperluas dan dilengkapi dengan keupayaan pengeluaran yang dipertingkatkan bagi memenuhi cita rasa rakyat Malaysia terhadap mi segera, perisa dan produk yang lain.

“Pihak kami membangunkan sendiri sistem pembuatan digital (DMO) untuk mengendalikan Loji Kuliner yang mempunyai sejumlah besar bahan dan resipi,” katanya.

Maggi kini menawarkan beberapa produk mi segera antaranya Big Kari, Big Tom Yam dan Pedas Giler  selain produk perasa yang lain.

--BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan