EKONOMI

PRESTASI PMKS MELONJAK HASIL SUMBANGAN SURIANI - EWON

04/09/2024 09:08 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Suriani Ahmad telah memberikan sumbangan besar dalam membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di seluruh negara ketika menyandang jawatan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata sumbangan itu dilihat berdasarkan prestasi PMKS dan koperasi yang melonjak lebih baik selain pelaksanaan program serta projek pembangunan yang mengatasi purata nasional.

"Beliau juga memudah cara pelaksanaan fokus tambahan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak seperti projek Tamu Desa, pembukaan cawangan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan pengwujudan BEEP Plus untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

"Selain itu, beliau turut memudah cara sesi libat urus khas belanjawan Borneo serta pelbagai inisiatif KUSKOP," katanya dalam kenyataan sebagai penghargaan kepada Suriani yang dilantik sebagai KSU Kementerian Kesihatan berkuat kuasa esok.

Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang sebelum ini memegang jawatan KSU Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal menggantikan Suriani.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan