AM

INSKEN PELAWA LEBIH BANYAK KERJASAMA PERKUKUH EKOSISTEM KEUSAHAWANAN NEGARA

22/08/2024 10:31 PM

BANGI, 22 Ogos (Bernama) -- Program bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi serta organisasi lain untuk tampil membantu memantapkan ekosistem keusahawanan negara.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Mustaffa Kamil Ayub berkata program bimbingan INSKEN setakat ini telah berjaya membantu usahawan meningkatkan hasil jualan sebanyak RM7.5 juta serta membuka 110 pekerjaan baharu.

“Peningkatan hasil jualan itu dicipta melalui dua program iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu. 

“Sebanyak 63 peratus peserta daripada Program IBBC dan Program Bimbingan Keuntungan Menu telah mencatatkan peningkatan jualan minimum 25 peratus dan 110 pekerjaan baharu telah dicipta melalui Program IBBC,” katanya dalam ucapan merasmikan majlis graduasi 233 usahawan program bimbingan INSKEN 2024 di sini hari ini.

Mustaffa Kamil berkata lebih membanggakan lagi apabila 6.9 nilai gandaan berjaya dicipta daripada Program IBBC dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

“Ini bermaksud, setiap RM1 yang dibelanjakan untuk melaksanakan kedua-dua program berkenaan memberi pulangan sebanyak RM6.90 kepada ekonomi negara. Sebanyak 18 usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga bertukar status perniagaan mereka daripada kategori mikro kepada kecil.

“Purata jualan selepas program tamat adalah sebanyak RM397,000. Ini satu pencapaian yang amat memberangsangkan dan merupakan langkah penting dalam perjalanan anda sebagai usahawan,” katanya.

Mustaffa Kamil berkata INSKEN sentiasa menekankan konsep daripada usahawan kepada usahawan bermaksud peranan institut itu terhadap program-program bimbingan dijayakan bersama jurulatih industri yang merupakan pemain atau pembimbing dalam sesuatu industri.

INSKEN ialah agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan