DUNIA

MASA HADAPAN MSM MENURUN DI TENGAH-TENGAH KEBIMBANGAN LAMBAKAN INVENTORI

04/09/2024 09:45 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penurunan hari ini, di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan stok simpanan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan awal menunjukkan lambakan inventori menjelang laporan tanaman utama minggu depan.

Kelemahan dalam harga minyak kacang soya turut menyumbang kepada sentimen pasaran yang agak lembap, katanya kepada Bernama.

“Kami melihat sokongan pada paras RM3,800 setan dan rintangan pada RM3,980,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata penurunan itu disebabkan penjualan besar-besaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago, minyak mentah dan niaga hadapan kanola Intercontinental Exchange.

Beliau berkata kelemahan dalam pasaran bebas minyak kacang soya Amerika Selatan turut menyumbang kepada kemerosotan.

“Bagaimanapun, kenaikan dalam aliran niaga hadapan minyak biji sesawi Bursa Komoditi Zhengzhou selain pengukuhan dalam pasaran minyak sayuran domestik China telah menyokong minyak sawit dan mengehadkan kerugian,” tambahnya.

Pada penutup, kontrak bulan semerta September 2024 berkurangan sebanyak RM28 kepada RM3,992 satu tan, Oktober 2024 turun RM41 kepada RM3,924 satu tan dan November 2024 adalah RM45 lebih rendah kepada RM3,886 satu tan.

Disember 2024 turun RM40 kepada RM3,860 satu tan, Januari 2025 berkurangan RM36 kepada RM3,846 satu tan dan Februari 2025 susut RM31 kepada RM3,845 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 71,159 lot berbanding 72,810 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka adalah lebih tinggi pada 229,654 kontrak daripada 228,237 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan September turun sebanyak RM20 kepada RM4,030 setan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan