BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 EKONOMI

PENGANALISIS JANGKA OPR KEKAL 3 PERATUS BAGI TAHUN INI

06/09/2024 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd (CIMB) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 3 peratus sehingga akhir 2025.

Dalam nota tinjauannya hari ini, CIMB juga menyifatkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, terutama berkaitan eksport dan pelaburan.

MPC juga, katanya, telah mengekalkan pendekatan berdasarkan data dan mengakui bahawa risiko inflasi lebih cenderung kepada peningkatan dan dipengaruhi oleh langkah-langkah dasar domestik akan datang.

Pendirian dasar monetari semasa juga dilihat sebagai neutral, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, trajektori inflasi yang stabil serta pengukuhan ringgit.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) telah menyemak turun unjuran inflasi bagi tahun penuh kepada 2 peratus, memaparkan purata Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 1.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama.

Bank pelaburan itu berkata pendirian itu mengambil kira impak inflasi minimum daripada pelarasan cukai perkhidmatan, penyasaran subsidi diesel dan penangguhan penyasaran subsidi bahan api RON95.

Unjuran pada masa ini adalah di paras lebih rendah daripada sasaran rasmi julat 2 peratus hingga 3.5 peratus.

PIVB turut menekankan kepentingan pelaksanaan pendekatan berperingkat bagi penyasaran subsidi RON95 untuk mengelak sebarang kejutan inflasi berikutan wajaran 5 peratus dalam bakul IHP.

“Jika dilaksanakan dalam suku keempat 2024, kami menjangkakan IHP kekal dalam julat sasaran rasmi itu.

“Selain itu, pendirian neutral BNM dalam kenyataan dasar monetari terbaru dan risiko semasa, hanya mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa OPR berkemungkinan kekal pada 3 peratus bagi tempoh sepanjang 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank) juga mengekalkan unjuran OPR pada 3 peratus untuk tahun ini.

Bank pelaburan itu merujuk peningkatan bagi pertumbuhan tahun ini, jangkaan momentum berterusan dan risiko inflasi pada 2025 (diunjur pada 2.5 peratus) membabitkan rasionalisasi subsidi petrol RON95.

Maybank berkata OPR yang stabil dalam jangka masa terdekat serta jangkaan pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) bermula September 2024, juga menjadi perkembangan yang positif untuk ringgit. 

Selain itu, sejarah impak penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS serta kemajuan pembaharuan ekonomi domestik, juga mendorong hasil yang positif untuk ringgit.

Ini, katanya, turut disokong oleh aliran masuk bersih dana asing ke dalam pasaran ekuiti dan bon tempatan susulan keyakinan pelabur dan sentimen terhadap risiko.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan