EKONOMI

HARTALEGA SEDIA CAPEX RM300 JUTA UNTUK AUTOMASI, NAIK TARAF KAPASITI

06/09/2024 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Hartalega Holdings Bhd merancang untuk membelanjakan RM300 juta sebagai perbelanjaan modal (capex) dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan automasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kuan Mun Leong.

Kuan berkata Hartalega akan menumpukan kepada pembuatan pintar.

"Kami telah memperuntukkan RM300 juta dalam capex untuk 12 bulan akan datang," katanya.

"Daripada RM300 juta ini, kira-kira RM170 juta akan dilaburkan dalam kapasiti baharu untuk pengeluaran," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini.

Bakinya akan digunakan untuk menaik taraf automasi syarikat membabitkan barisan pengeluarannya, dengan tumpuan pada teknologi automasi yang lebih maju.

"Walaupun sukar untuk memberikan angka yang tepat, kami berharap dapat mengurangkan tenaga buruh kami sebanyak 15 peratus kepada 20 peratus.

"Proses automasi ini akan mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan, memberikan peningkatan yang ketara. Sekarang ini, barisan pengeluaran kami bersifat automatik, dengan hampir 85 peratus proses sudah diautomasikan," katanya.

Kuan berkata disebabkan perubahan dalam landskap kompetitif, Hartalega perlu meningkatkan lagi teknologinya untuk mencapai automasi penuh, sekali gus, menambah pengeluaran dan hasil.

"Pelaburan besar ini bukan sahaja akan melonjakkan automasi tetapi juga kualiti pembungkusan, yang sukar diukur dari segi kewangan tetapi menawarkan kelebihan daya saing," katanya.

Berhubung pengukuhan ringgit, Kuan berkata syarikat itu berdepan dengan beberapa cabaran kerana kos tertentu mungkin akan naik.

"Kami akan cuba menyampaikan kos ini kepada pelanggan kerana kami melaraskan harga kami pada setiap bulan.

"Sebagai contoh, pada September, harga kami mencerminkan kesan ringgit yang lebih kukuh dan kami akan memindahkan kenaikan kos ini kepada pelanggan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan