EKONOMI

SYARIKAT USAHA SAMA GAMUDA TERIMA SURAT NOTIFIKASI PROJEK HIDROELEKTRIK DI SABAH

06/09/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Gamuda Bhd (Gamuda) melalui syarikat usaha samanya menerima surat pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi projek Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah.

Gamuda dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat menjelaskan projek itu akan dibangunkan oleh Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd.

UPP Holdings ialah syarikat usaha sama antara Gamuda dengan 45 peratus kepentingan ekuiti, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (40 peratus) dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd (15 peratus).

Menurut Gamuda, UPPSB akan mereka bentuk, membina dan mengendalikan projek Hidroelektrik Ulu Padas berdasarkan perjanjian pembelian tenaga selama 40 tahun yang akan dimeterai dengan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Gamuda menjelaskan setelah siap, projek itu dijangka menjana pendapatan lebih RM400 juta setahun.

Projek Hidroelektrik Ulu Padas terletak di daerah Tenom dan Sipitang dengan kapasiti terpasang 187.5 Megawatt (MW), menjana purata 1,052 Gigawatt sejam (GWj) tenaga bersih setiap tahun.

“Projek Hidroelektrik Ulu Padas dijangka mencapai tarikh operasi komersial berjadual (SCOD) pada akhir 2030.

"Loji solar terapung hibrid itu akan disepadukan dengan kawasan takungan,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan