EKONOMI

SEKTOR PERALATAN PERLU LUASKAN KEPAKARANNYA BANTU LONJAKKAN SEKTOR EKONOMI LAIN - LIEW

07/09/2024 01:29 PM

GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Pengeluar peralatan di negara ini digesa supaya membuat peralatan bukan sahaja untuk sektor semikonduktor malah juga membantu sektor lain termasuk pertanian, perabot, pembinaan, perladangan kelapa sawit dan automasi.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata dalam usaha Malaysia menjadi sebuah ekonomi maju, negara ini perlu menggunakan, mengautomasikan dan menginovasi teknologi untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing tidak mahir dalam semua sektor.

“Industri peralatan tidak boleh hanya sekadar membuat peralatan untuk sektor semikonduktor. Saya melawat ViTrox Agritech di Ara Kuda, Tasek Gelugor, semalam dan melihat teknologi untuk sektor semikonduktor boleh digunakan untuk aktiviti pertanian jitu,” katanya ketika berucap melancarkan Kluster Peralatan Teknologi Canggih (ATEC), di sini pada Sabtu.

Beliau berkata walaupun industri semikonduktor Malaysia terhubung dengan baik secara khusus dari segi rantaian bekalan global namun, sudah sampai masanya untuk industri itu menggalakkan hubungan industri yang lebih luas.

Liew berkata ini akan membolehkan industri semikonduktor mereka bentuk dan mencipta cip yang menyelesaikan masalah Malaysia dalam kesihatan, jaminan makanan, pengangkutan atau peralihan hijau, sama seperti pembuat peralatan yang membuat peralatan (yang boleh digunakan) di luar industri semikonduktor.

“Hanya dengan inovasi yang menyelesaikan masalah nasional dan serantau, kita boleh mencipta produk yang memperbaiki kehidupan berjuta-juta orang. Malaysia (kemudian akan) menyertai kumpulan Korea Selatan, Taiwan dan China untuk menjadi kuasa besar teknologi,” katanya.

Mengenai ATEC yang terletak di bawah Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Liew berharap usaha itu akan membantu mempercepat penyetempatan peralatan yang digunakan oleh syarikat multinasional (MNC) yang berpindah ke Malaysia secara lebih luas.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini akan mempunyai senarai pembuat peralatan Malaysia yang lebih baik untuk dibentangkan kepada MNC bagi membantu mereka menyetempatkan pembelian peralatan mereka.

“Kita mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia berkembang maju dalam industri semikonduktor yang lebih luas. Menariknya, beberapa syarikat Malaysia yang besar dalam teknologi sebenarnya terlibat dalam peralatan teknologi canggih.

“Hari ini adalah permulaan usaha ini dengan kita memberikan nama dan pengiktirafan yang sesuai kepada subsektor peralatan, selain menjangkakan subsektor peralatan sebagai pemacu penting dalam mencipta banyak syarikat Malaysia bernilai US$1 bilion dan RM1 bilion,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan aspirasi Malaysia untuk mewujudkan 10 syarikat teknologi Malaysia dengan setiap satu merekodkan pendapatan tahunan US$1 bilion dan 100 lagi dengan pendapatan tahunan RM1 bilion semasa mengumumkan Strategi Semikonduktor Nasional.

ATEC diterajui oleh pengeluar peralatan tempatan termasuk ViTrox, penyedia penyelesaian automasi Greatech Technology Bhd dan Pentamaster Corp Bhd.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan