AM

TANAH JERLUS: INSIDEN BERLAKU AKIBAT ANTROPOGENIK, CUACA DAN HAKISAN LAPISAN TANAH TAMBAK - NRES

07/09/2024 01:40 PM

PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Siasatan pelbagai agensi terhadap kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mendapati insiden berlaku akibat antropogenik (aktiviti manusia), cuaca dan hakisan lapisan tanah tambak bawah permukaan kawasan terlibat.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan satu laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan akan disediakan oleh kumpulan Task Force Struktur Tanah Masjid India yang diterajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa tiga bulan.

“NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah membantu dalam siasatan bawah permukaan kawasan kejadian tanah jerlus di kawasan Jalan Masjid India yang melibatkan seorang wanita warganegara India.

“Siasatan JMG telah menggunakan peralatan Ground Penetration Radar (GPR) bagi mendapatkan gambaran strata geologi dan sistem utiliti bawah permukaan kawasan kejadian bagi tujuan proses pemulihan menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu, yang turut menyatakan bahawa Kuala Lumpur adalah selamat untuk dihuni.

Bagi perancangan masa panjang, NRES memberitahu pemantapan terhadap aspek pemantauan, penyelenggaraan, prosedur dan kaedah penyiasatan bawah permukaan meliputi struktur binaan bawah tanah, dapat mengenal pasti dan mengelak sebarang ancaman tanah jerlus dan lubang benam yang mungkin berlaku.

NRES berkata JMG sedang menambah baik data bawah permukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-Permukaan Greater KL bagi melengkapkan maklumat sedia ada mengenai keadaan bawah permukaan Kuala Lumpur yang telah dijalankan di bawah projek 3DKL.

“Dari segi geologi, batuan dasar di Kuala Lumpur didasari sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit serta batuan metasedimen iaitu Formasi Kenny Hill, Syis Hawthornden dan Syis Dinding. 

“Manakala kawasan tanah jerlus adalah didasari batuan syis, filit dan kuarzit Formasi Kenny Hill,” menurut NRES.

Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berkenaan dihentikan pada 31 Ogos lepas setelah mengambil kira faktor keselamatan pasukan operasi SAR.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan