AM

MALAYSIA PERLU LAHIRKAN BAKAT PENERAJU AI, BUKAN SEKADAR PENGGUNA 

08/09/2024 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu melahirkan bakat peneraju bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus revolusi teknologi global dan tidak sekadar menjadi pengguna dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI), kata Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia Datuk Sri Ganes Palaniapan.

Beliau berkata usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat data dan peneraju AI serantau menerusi penubuhan Pejabat AI Kebangsaan ialah langkah tepat namun membina keupayaan dan bakat tempatan lebih penting untuk membangunkan penyelesaian AI berimpak tinggi.

"Realitinya, Malaysia masih terperangkap sebagai pengguna teknologi AI tanpa tumpuan yang cukup terhadap pembangunan bakat peneraju. Kita tidak boleh kekal dalam kedudukan ini untuk tempoh lama kerana akan menyebabkan negara berisiko tercicir dalam persaingan AI di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jika Malaysia ingin bersaing dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, negara perlu melabur secara agresif dalam pembangunan bakat AI yang mampan yang boleh memenuhi keperluan semasa dan masa depan.

"Pembangunan bakat tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif dalam AI perlu menjadi keutamaan. Antara sektor kritikal memerlukan penyelesaian AI termasuk alam sekitar, penjagaan kesihatan dan automasi industri," jelasnya.

Teknologi AI mempunyai potensi besar untuk meningkatkan ekonomi negara dengan menjana pendapatan hingga RM625 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 yang meliputi pelbagai sektor ekonomi.

"Di peringkat global, pelaburan dalam AI juga dijangka melonjak daripada US$207.9 bilion (RM902 bilion) pada tahun ini kepada US$1.8 trilion (RM7.81 trilion) menjelang 2030," katanya.

Menteri Digital Gobind Singh Deo baru-baru ini mengumumkan kerajaan meluluskan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan di bawah MyDigital Corporation yang dijangka beroperasi November ini.

Pejabat berkenaan dijangka memainkan peranan penting dalam memacu ekosistem AI tempatan dan rantau ini.

Beliau berkata dengan penubuhan pejabat berkenaan, Malaysia bukan sahaja dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor AI tetapi juga mengukuhkan kedudukan sebagai hab AI di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan