SUKAN

VICENTE PUJI USAHA KERAS HARIMAU MALAYA, LAYAK BERGELAR JUARA

09/09/2024 01:38 AM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Pau Marti Vicente, percaya Malaysia layak memenangi trofi Pestabola Merdeka 2024 selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Lubnan dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.

Sambil melahirkan rasa puas hati dengan kemenangan itu, pengendali skuad Harimau Malaya dari Sepanyol itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti simbolik atas kerja keras anak buahnya.

“Fikiran saya ketika ini ialah kami sangat gembira, kami rasa kami layak untuk menang, ia satu aksi yang sukar Semua pemain bekerja keras pada aksi final dan ini adalah hari yang baik untuk diraikan

“ Saya rasa bagus kerana mempunyai petugas dan pemain yang sangat baik, malah yang penting hubungan erat secara keseluruhan,” katanya pada sedia media selepas perlawanan itu.

Terdahulu, penyerang naturalisasi Romel Morales menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-33, sekali gus membantu Malaysia merangkul gelaran kali ke-13 dan pertama sejak kemenangan terakhir pada tahun 2013.

Mengulas lanjut, Vicente berpendapat Malaysia boleh menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua walaupun bergelut untuk mengekalkan tahap permainan konsisten seperti pada separuh masa pertama.

“Separuh masa pertama sangat positif, kami berdepan lawan yang bertahan dengan sangat baik dan sukar untuk ditembusi tetapi kami masih dapat mengawal permainan dan bernasib baik dapat menjaringkan gol.

“Separuh masa kedua, kami bergelut untuk mengekalkan corak permainan yang sama tetapi kami mempunyai beberapa peluang dan boleh menjaringkan satu atau dua gol, mungkin ia akan jadi berbeza untuk kita ” katanya.

Sementara itu, jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic mengakui bahawa pasukannya menghadapi perlawanan yang sukar dan gol pertama Malaysia menyukarkan lagi keadaan bagi mereka selain terlepas beberapa peluang.

“ Ia adalah perlawanan yang sangat sukar seperti yang dijangkakan, kami memulakan dengan sedikit rasa hormat terhadap Malaysia dalam 15 minit pertama dan bermain dengan baik selepas itu, terutama pada separuh masa kedua.

“Tetapi  malangnya kami bolos pada separuh masa dan selepas itu sukar untuk mengatur permainan. Kami ada beberapa peluang tetapi gagal menyudahkannya. Saya ucap tahniah kepada Malaysia atas kejayaan ini,” katanya.

Ini adalah kekalahan pertama Lubnan kepada Malaysia selepas dua kali menewaskan Harimau Malaya dengan jaringan 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia pada tahun 2017 dan 2018.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan