EKONOMI

GENERALI MALAYSIA BUKA CAWANGAN DI PULAU PINANG

09/09/2024 05:39 PM

GEORGE TOWN, 9 Sept (Bernama) -- Generali Insurance Malaysia Bhd membuka cawangannya yang terbesar di Pulau Pinang hari ini yang melengkapkan rangkaian pengembangan strategik syarikat itu di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Fabrice Benard berkata cawangan terbaru dalam rangkaian Generali itu melambangkan visi syarikat untuk terus berinovasi dan meningkatkan perkhidmatannya.

"Sebagai lokasi yang strategik, Pulau Pinang membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan yang semakin berkembang dan pelbagai di rantau ini.

"Pejabat kendiri ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan dan persekitaran yang memberi inspirasi kepada pekerja," katanya di majlis pembukaan cawangan itu di sini hari ini.

Cawangan Pulau Pinang itu dilengkapi dengan panel solar yang bertujuan mengukuhkan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab alam sekitar, kata Benard.

Pembukaan cawangan syarikat itu sebelum ini adalah di Sibu, Sarawak pada 3 Ogos, 2024.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan