AM

SEORANG LELAKI CEDERA AKIBAT DISERANG HAIWAN LIAR DI GUA MUSANG

09/09/2024 09:36 PM

GUA MUSANG, 9 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 33 tahun tidak sedarkan diri selepas luka di bahagian kaki dan kepala dipercayai akibat diserang haiwan liar di Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata ketika kejadian mangsa dilaporkan sedang memikat burung di hutan di kampung berkenaan. 

"Pada 9.57 malam semalam, pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang menerima laporan daripada ayah mangsa memaklumkan bahawa anak lelakinya diserang haiwan liar ketika sedang memikat burung dan mengalami luka cakaran pada kaki serta kepala dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Jerek sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang turut ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti haiwan tersebut dan merancang untuk memasang perangkap serta kamera. 

Beliau berkata penduduk setempat dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika keluar bekerja dan bergerak secara berkumpulan bagi mengelak daripada sebarang ancaman binatang liar serta kejadian yang tidak diingini. 

--BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan