AM

LEBIH 12,000 METRIK TAN HASIL TUAIAN DIANGGAR SETAHUN DARI LADANG IPR-INTAN@NCER PERLIS

09/09/2024 11:21 PM

KANGAR, 9 Sept (Bernama) -- Lebih 12,000 metrik tan pengeluaran hasil tuaian dianggarkan setahun selepas ladang Inisiatif Pendapatan Rakyat-INTAN di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) (IPR-INTAN@NCER) di Perlis beroperasi sepenuhnya nanti.

IPR-INTAN@NCER merupakan program di bawah Kementerian Ekonomi dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ladang itu.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata ketika ini projek IPR-INTAN@NCER di Perlis telah dilaksanakan di tanah seluas 50.586 hektar dengan sasaran pengeluaran lebih 2,200 metrik tan cili, terung dan bendi setahun manakala 299.467 hektar ladang lagi akan dibuka di negeri itu menjelang akhir tahun ini yang menjadikan keluasan keseluruhan ladang 350 hektar.

“IPR-INTAN@NCER di Perlis bakal mewujudkan 745 peluang pekerjaan kepada rakyat berserta peluang untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dan latihan pengurusan kewangan, masing-masing melalui kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Universiti Teknologi MARA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik Bagi Pelaksanaan Program IPR-INTAN NCER, Lembah Chuping di Chuping dekat Padang Besar hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

-- LAGI

 

NCER-IPR 2 (AKHIR) KANGAR

 

Mohamad Haris berkata IPR-INTAN@NCER di Perlis akan diintegrasikan dengan peserta program Transformasi Usahawan Mampan NCER (NEST) dengan pada peringkat permulaan melibatkan dua syarikat tempatan iaitu Farmotic dan Abi Agro.

“Kepakaran Farmotic dan Abi Agro masing-masing dalam kepakaran teknologi robotik pertanian dan peralatan pembajaan serta hidroponik akan melengkapi IPR-INTAN@NCER melalui kerjasama teknologi dan seterusnya membantu program berkenaan mencapai impak yang lebih meluas.

“NCIA juga membentuk kerjasama strategik dengan FGV Integrated Farming bagi mempermudah aktviti penjualan hasil tuaian tanaman IPR-INTAN@NCER di KedaiFGV.com melalui jenama LADANG 57,” katanya.

Beliau berkata selain memberi tumpuan utama terhadap usaha merealisasikan pelaburan di NCER, pelaksanaan IPR-INTAN@NCER menjadi bukti komitmen tinggi NCIA dalam melaksanakan program pertanian moden yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER.

“Menurut data Jabatan Pertanian, kadar sara diri (SSR) bagi tanaman sayuran negara pada 2022 adalah sebanyak 44.7 peratus dan ini bermakna lebih 55 peratus atau dua juta metrik tan perlu diimport untuk memenuhi permintaan tempatan dengan nilai RM6.2 bilion. Nilai import berkenaan meningkat selama empat tahun berturut-turut sejak 2019.

“Oleh itu, NCIA akan terus memacu pelaksanaan IPR-INTAN@NCER dan satu lagi projek pemodenan pertanian iaitu Zon Ekonomi AgriBio NCER (NAEZ) bagi menangani isu berkenaan,” kata Mohamad Haris.

-- BERNAMA

 

TAG: NCEP, IPR, ladang, Perlis, Mohamad Haris Kader Sultan 


NHAL2 NHAL2 SMK

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan