AM

HARI MALAYSIA 2024 SAJI PELBAGAI PENGISIAN SEMARAK SEMANGAT PATRIOTIK

10/09/2024 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia 2024 bakal menyajikan pelbagai pengisian menarik bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pengunjung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Sept ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata antara pengisian ialah Tarian Sambut Tamu ‘Heart of Sabah’ dan Upacara Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024.

“Selain itu Upacara Memotong Kek Hari Malaysia, Acara Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Upacara Serah Jalur Gemilang.

“Persiapan rapi sedang giat dilakukan agar sambutan berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri. Semua jawatankuasa yang terlibat bertungkus lumus melaksanakan persiapan bagi memastikan acara dianjurkan tahun ini berlangsung meriah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Mano berkata antara kumpulan kesenian yang terlibat ialah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Borneo Art, Satelit, Art UMS, Sekolah Kebangsaan Sembulan dan Ngalay serta artis jemputan khas iaitu Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti pameran, bazar jualan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mencari harta karun di arkib negeri dan balai seni lukis, night at the archives, pertandingan e-sukan, kuiz kenegaraan dan pertandingan melukis berkonsepkan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.

Wow factor yang akan diketengahkan melibatkan persembahan kebudayaan yang unik, pertunjukan hologram, persembahan dron, pertunjukan cahaya dan bunyi, serta elemen-elemen kreatif yang mencerminkan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.

“Bagi pengunjung yang ingin memeriahkan acara sambutan, dicadangkan supaya dapat merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan kemudahan awam yang disediakan selain membawa payung atau baju hujan memandangkan cuaca yang tidak menentu saban hari,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Merdeka360 atau ikuti platform media sosial Facebook dan Instagram.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan