EKONOMI

MALAYSIA DIJANGKA BAWA MASUK PELABURAN BAHARU DALAM SEKTOR HALAL DARI CHINA

10/09/2024 01:10 PM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

SHANGHAI, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia dijangka berpotensi untuk membawa masuk pelaburan baharu dari China dalam industri halal melalui Forum Perniagaan Halal Malaysia-China yang diadakan di bandar raya ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata China disenaraikan antara dua destinasi teratas untuk eksport halal Malaysia berdasarkan eksport bernilai RM6.25 bilion (US$1.4 bilion) dalam sektor perdagangan halal setakat Julai 2024 merangkumi bahan-bahan halal, makanan dan minuman, derivatif minyak sawit, bahan kimia industri, kosmetik dan farmaseutikal.

Beliau berkata Shanghai yang kaya dengan sejarah dan ekonomi yang bertenaga, menyediakan persekitaran ideal untuk perbincangan mengenai masa depan industri halal dan potensi kerjasama yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.

“Malaysia telah membangunkan sistem pensijilan halal yang sangat dihormati. Dari semasa ke semasa, kita telah berkembang menjadi pihak berkuasa yang terkemuka dengan sistem pensijilan komprehensif yang diiktiraf di seluruh dunia,” katanya ketika berucap semasa Sesi Meja Bulat Halal di forum berkenaan hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata kepentingan dalam diplomasi halal semestinya diiktiraf.

“Malaysia menghargai perkongsian dan pakatan dalam sektor halal. Dengan bekerjasama, kita boleh memanfaatkan kekuatan, berkongsi kepakaran dan memastikan produk halal kita memenuhi standard tertinggi untuk pengguna Islam di seluruh dunia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata walaupun banyak negara mengiktiraf logo halal, tetapi usaha untuk menyelaraskan standard dan melancarkan aliran perdagangan kini masih dalam proses.

Sebagai contoh, beliau berkata Malaysia pada masa ini mengiktiraf 88 badan pensijilan halal di seluruh dunia, termasuk enam dari China.

“Sesi meja bulat pada forum ini merupakan platform yang ideal untuk meneroka penyelesaian kerana kita boleh membincangkan penyelarasan proses pensijilan bagi pengeksport China dan mempertingkatkan kerjasama antara Malaysia dan China.

"Kita akan memastikan produk-produk China memenuhi piawaian halal Malaysia dengan cekap dan memudahkan akses ke pasaran lain yang mengiktiraf pensijilan Malaysia," katanya.

Forum Perniagaan Halal Malaysia-China anjuran Halal Development Corporation Bhd (HDC), menampilkan lebih 30 pemain industri halal dari kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia disertai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan