EKONOMI

ELNA PCB BUKA KILANG PEMBUATAN BAHARU, TAWAR 1,000 LAGI PELUANG PEKERJAAN

10/09/2024 04:15 PM

BUTTERWORTH, 10 Sept (Bernama) -- Pengeluar papan litar tercetak (PCB) berpangkalan di Taiwan, Elna PCB memperluas kemudahan pembuatannya dengan membuka kilang baharu di Zon Perindustrian Perai dekat sini hari ini.

Dengan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion, pengembangan itu melibatkan kilang baharu lebih 10,000 meter persegi dengan kemudahan pembuatan PCB lima tingkat yang terletak bersebelahan kilang sedia ada.

Presiden Elna PCB (Malaysia) Sdn Bhd, Ian Yang berkata fasa pertama pengeluaran itu akan menghasilkan 300,000 kaki persegi PCB yang memenuhi keperluan sektor automotif, pelayan, peralatan rangkaian, pengkomputeran peribadi dan elektronik pengguna.

“Memandangkan permintaan global terhadap PCB yang berkualiti tinggi dan maju terus berkembang, kami bersedia untuk memperluas kapasiti pengeluaran kepada satu juta kaki persegi dalam masa terdekat.

"Kemudahan sedia ada itu akan mengekalkan pengeluaran untuk pelanggan automotif manakala kilang baharu ini meningkatkan keupayaan kami, membolehkan kami memenuhi keperluan pelanggan dengan kepelbagaian pembuatan geografi yang lebih besar dan fleksibiliti rantaian bekalan," katanya pada majlis pembukaan kilang itu hari ini yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Hadir sama Pengerusi PSA Group Anthony Chiao, Presiden PSA PCB Business Group Lance Tao, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed.

Elna PCB adalah anak syarikat Global Brand Manufacture di bawah PSA Group.

Menurut Yang, dengan mengukuhkan kehadiran syarikat itu di Pulau Pinang, Elna membantu membina rantaian bekalan teguh dan komprehensif yang akan menarik lebih banyak pemain global bukan sahaja ke negeri ini malah ke Malaysia.

Sementara itu, Tao berkata perasmian kilang baharu Elna adalah pencapaian penting dalam sektor PCB.

Sehubungan itu, katanya PSA komited untuk menyediakan penyelesaian sehenti utama industri kepada pelanggan di seluruh dunia, menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang pelbagai dan berkualiti tinggi.

Beliau berkata sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, Malaysia menyumbang sebanyak 13 peratus daripada pasaran pemasangan, ujian dan pembungkusan global.

“Pulau Pinang adalah hab utama bagi industri semikonduktor Malaysia, yang mempunyai ekosistem perindustrian yang teguh, kumpulan bakat yang banyak dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan.

“Oleh itu,langkah Elna membina loji PCB baharu di Pulau Pinang adalah pendekatan strategik yang dijangka meningkatkan rantaian bekalan pembuatan elektronik di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata, majlis hari ini menandakan realisasi pelaburan Elna di Pulau Pinang sejak majlis pecah tanah pada Februari tahun lepas.

Kemudahan ini dijangka mewujudkan 1,000 lagi peluang pekerjaan, katanya.

Menurutnya berikutan kehadiran selama 30 tahun di Pulau Pinang, pengembangan Elna telah banyak membuktikan Pulau Pinang sebagai lokasi yang mampan untuk pelaburan.

“Pengembangan ini menekankan ekosistem perindustrian yang kukuh di Pulau Pinang, menawarkan peluang kepada syarikat multinasional untuk terus berkembang di sini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan