AM

RAJA PERLIS TERIMA MENGADAP DUTA BESAR REPUBLIK UZBEKISTAN KE MALAYSIA

10/09/2024 03:30 PM

KANGAR, 10 Sept (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima mengadap Duta Besar Republik Uzbekistan ke Malaysia Karomiddin Gadoev di sini petang semalam.

Istana Arau dalam kenyataan hari ini berkata Karomiddin diiringi Kaunselor Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Republik Uzbekistan di Kuala Lumpur, Mutalibjon Khojimurotov.

Menurut kenyataan itu Karomiddin mengalu-alukan sebarang kerjasama saling menguntungkan antara Perlis dan Uzbekistan khususnya dalam sektor ekonomi.

"Beliau (Karomiddin) juga berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan antara Perlis dan Uzbekistan dalam sektor pendidikan melalui Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang pernah mempunyai banyak pelajar mereka,” kata kenyataan itu.

Turut berangkat sama Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada sesi mengadap itu.

Untuk rekod Tuanku Syed Sirajuddin ketika memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-12 bersama-sama Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid pernah berangkat mengadakan lawatan negara ke Uzbekistan pada tahun 2003.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan