DUNIA

TENTERA ISRAEL TERUS LAKUKAN PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI GAZA

10/09/2024 04:10 PM

GAZA, 10 Sept (Bernama-WAFA) -- Tentera pendudukan Israel  terus melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza selepas melancarkan serangan udara yang menyasarkan kawasan khemah pelarian di Mawasi Khan Yunis, pada awal pagi Selasa, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Pembunuhan yang berlaku berhampiran Hospital British di pintu masuk kawasan Mawasi menyebabkan puluhan orang awam terkorban dan cedera, termasuk sejumlah besar kanak-kanak dan wanita, manakala ramai lagi masih hilang.

Pasukan perubatan berkata, seramai 40 mayat ditemukan dan 60 lagi cedera selepas tiga jam operasi menyelamat dilaksanakan di Mawasi Khan Yunis.

Pertahanan Awam memaklumkan pihaknya berdepan satu daripada pembunuhan beramai-ramai yang paling kejam sejak permulaan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Menurut laporan akhbar dan media tempatan, lima peluru berpandu digunakan dalam serangan itu menyebabkan kemusnahan sepenuhnya.

Kawasan itu kini dalam keadaan huru-hara, dengan kehadiran pesawat pengintip Israel di lokasi, di tengah-tengah gangguan bekalan elektrik dan kebakaran akibat pengeboman.

Paramedik daripada Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pasukan perubatan menghadapi cabaran besar untuk mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera akibat kemusnahan besar di kawasan terbabit.

Pengeboman ini berlaku dalam rangka serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, di tengah-tengah situasi kemanusiaan yang amat kritikal.

-- BERNAMA-WAFA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan