AM

PROGRAM MADANI RAKYAT DITERUSKAN KE MIRI 27-29 SEPT, BERAKHIR DI KOTA KINABALU 18-20 OKT - FAHMI

11/09/2024 04:38 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Siri jelajah Program MADANI Rakyat akan diteruskan ke Miri, Sarawak, dari 27 hingga 29 Sept depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia akan disusuli dengan penganjuran di Kota Kinabalu, Sabah dari 18 hingga 20 Okt, yang merupakan siri terakhir jelajah program berkenaan pada tahun ini.

"Atur cara telah disusun dan kita akan susuli dengan maklumat terperinci untuk rakan-rakan media nanti," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Sementara itu Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri Persekutuan dijadual akan turut menghadiri sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah, pada 16 Sept depan.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan seterusnya mengajak orang ramai memeriahkan sambutan acara itu yang akan bermula pada pukul 7 malam dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk program Riuh, khusus untuk sambutan itu.

Sementara itu Fahmi berkata kerajaan akan memberikan penekanan kepada usaha serta kempen mengurangkan pengambilan gula dalam makanan melalui kerjasama antara kementerian, agensi dan badan berkanun.

Beliau berkata perkara ini turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri semasa mesyuarat Kabinet hari ini memandangkan maklum balas Kementerian Kesihatan mendapati tahap obesiti serta penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia agak membimbangkan susulan amalan pengambilan gula berlebihan.

"Kita harap masyakat juga akan menyambut dengan baik usaha ini memandangkan masalah penyakit tidak berjangkit yang merisaukan," katanya.

Perdana Menteri ketika merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 pada 8 Sept lepas, mengingatkan rakyat untuk mengambil serius tentang pengetahuan penjagaan kesihatan, terutama berkaitan keburukan pengambilan gula secara berlebihan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan