AM

PINDAAN AKTA 588 WUJUDKAN EKOSISTEM INTERNET LEBIH SELAMAT - FAHMI

09/12/2024 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pindaan itu juga bagi memastikan negara bebas daripada ancaman siber seperti pedofilia, pornografi kanak-kanak, pengantunan seksual, penipuan dalam talian, buli siber dan judi dalam talian.

"Adalah dihasratkan supaya rangka perundangan yang lebih utuh ini dapat menangani penghijrahan jenayah konvensional ke dalam talian dan kita tidak lagi mahu melihat persekitaran dalam talian didominasi kandungan memudaratkan dan bersifat jelik melampau yang jelas tidak selaras dengan jati diri dan tatasusila rakyat Malaysia," katanya.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata keselamatan dalam talian menjadi keutamaan.

Beliau berkata kerangka kawal selia yang teguh dalam konteks pindaan Akta 588 amat penting untuk menyokong pembangunan industri, meningkatkan keyakinan pelabur asing mewujudkan persekitaran mesra perniagaan.

Fahmi berkata ia juga penting bagi memelihara kesejahteraan digital buat kanak-kanak dan keharmonian masyarakat berbilang kaum ke arah membangunkan Malaysia MADANI sebagai sebuah negara bangsa progresif.

Beliau memberi contoh penipuan dalam talian yang masih berleluasa walaupun pelbagai usaha pencegahan dilaksanakan disebabkan beberapa faktor utama, antaranya scammer sentiasa mengembangkan modus operandi menggunakan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk menjadikan penipuan lebih canggih dan sukar dikesan.

Beliau berkata Malaysia merekodkan kerugian berjumlah RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini termasuk jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Fahmi berkata tahap kemudaratan dalam talian yang semakin tinggi itu diterjemahkan melalui jumlah tindakan penurunan kandungan berunsurkan scam di platform media sosial bagi tempoh 2022 hingga 1 Dis lepas melibatkan 62,833 kandungan.

"Dalam tempoh sama, jumlah penurunan kandungan berunsur pelacuran di media sosial adalah 2,165 kandungan, judi dalam talian (185,858) manakala penurunan kandungan berunsur lucah (1,947) dan daripada jumlah tersebut, 71.2 peratus atau 1,387 adalah kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan," katanya.

Fahmi berkata pindaan kepada Seksyen 233 memperuntukkan kandungan berbentuk satira dan parodi yang jelas dan merupakan fiksyen, adalah tidak palsu, manakala apa-apa komunikasi yang dibuat dengan suci hati yang benar pada isi dan fakta dan terdiri daripada pernyataan pendapat, bukanlah jelik melampau.

"Namun begitu kebebasan ini bukanlah mutlak, malah disertakan dengan tanggungjawab dan batasan demi menjaga keharmonian dan keselamatan negara sebagaimana yang digariskan di Bawah Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan. 

"Maka pindaan Akta 588 khususnya Seksyen 233 adalah bagi mewujudkan keseimbangan (balance) di antara menjamin kebebasan dan mempertahan kedaulatan undang-undang (rule of law)," katanya.

Selain itu, Fahmi berkata pindaan akta tersebut dapat membantu dan memantapkan proses penyiasatan terutamanya dalam pengumpulan bukti iaitu dari sudut pemeliharaan, penzahiran, penyimpanan dan pengekalan data komunikasi. 

Dalam perkara ini, beliau berkata Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menjadi negara ahli kepada kedua-dua konvensyen tersebut.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan