AM

KERAJAAN TIDAK KOMPROMI ISU KESELAMATAN DALAM TALIAN, KENAL PASTI LANGKAH SELAMAT - FAHMI

11/09/2024 04:50 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan dalam talian dan akan mengenal pasti beberapa langkah mampan serta lebih berkesan bagi memastikan Internet lebih selamat digunakan oleh kanak-kanak serta keluarga, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fahmi.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu menjadi keutamaan kerajaan setelah mengambil kira insiden jenayah yang banyak berlaku di dunia siber masa kini.

Fahmi berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneruskan sesi libat urus yang telah dijalankan sejak enam bulan lepas, bagi mendapatkan pandangan daripada pakar keselamatan siber, komuniti pembangunan teknologi dan pengatur cara komputer.

“Ini menjadi keutamaan selepas mengambil kira jenayah kini berhijrah di dunia siber bukan hanya dalam media sosial, tetapi apa yang kita kenali sebagai ‘world wide web’, maka beberapa langkah dan ikhtiar yang lebih menyeluruh perlu diusahakan.Saya telah minta MCMC untuk meneliti dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

“Siri libat akan diteruskan dan bukan hanya sekali, tetapi telah berjalan sejak enam bulan lepas,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas arahan kerajaan kepada MCMC agar tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).

Ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah Australia yang akan menggubal undang-undang bagi menyekat akses kanak-kanak menggunakan media sosial dengan menetapkan had usia minimum 16 tahun, beliau berkata kerajaan turut akan meneliti usaha pelbagai negara berkaitan perkara itu.

Fahmi berkata isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun merupakan suatu perkara yang sering dibincangkan serta berulang kali dibangkitkan dalam sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial.

“Setiap kali kita mengadakan perbincangan (libat usus) ini, garis panduan mereka sendiri tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun memiliki akaun media sosial, tetapi realitinya kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah memiliki pelbagai akaun media sosial...ini berdasarkan pengamatan saya di lapangan,” katanya.

Beliau turut berpandangan walaupun garis panduan penetapan had umur telah ditetapkan oleh penyedia platform media sosial namun pelaksanaan dasar oleh pihak berkenaan masih lemah.

Justeru beliau berharap langkah pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan akan menggambarkan keseriusan kerajaan terhadap isu itu, sekali gus tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun memiliki sebarang akaun media sosial.

Berkongsi maklumat mengenai pertemuan beliau dengan penyedia platform media sosial pada Julai lepas, Fahmi yakin pihak berkenaan memahami kepentingan usaha kerajaan menangani jenayah dalam talian serta memastikan Internet selamat digunakan oleh kanak-kanak serta keluarga.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan