EKONOMI

RISIKO BERKAITAN IKLIM, DAKWAAN MESRA ALAM SEKITAR ANCAM KELAYAKAN KREDIT BANK

13/09/2024 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Peningkatan risiko berkaitan iklim menimbulkan ancaman yang semakin meningkat terhadap institusi kewangan, terutamanya bank-bank kerana mereka terdedah kepada kelemahan merentasi pelbagai wilayah dan sektor.

Pengarah S&P Global Ratings dan penganalisis utama bagi Pacific, Sovereign, IPF and Financial Institutions Ratings Sharad Jain berkata bank dalam pasaran pesat membangun, terutamanya negara yang bergantung kepada minyak dan gas seperti Mongolia dan Nigeria, berhadapan risiko yang lebih tinggi berikutan mempunyai kapasiti terhad untuk menyesuaikan diri kesan peralihan tenaga global.

“Kami menganggap bank di negara sedemikian berisiko untuk mendepani perubahan dalam dasar awam global termasuk yang berkaitan dengan peralihan tenaga.

“Bank dan pihak berkuasa di negara tersebut mempunyai kapasiti yang agak terhad untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini, manakala bank di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mempunyai lebih fleksibiliti walaupun peralihan itu kekal sebagai cabaran jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi panel bertajuk 'Risiko Iklim dan Perbankan: Mengharungi Cabaran Baharu dan Meraih Peluang', dianjurkan oleh S&P Global Ratings.

Sesi berkenaan adalah sebahagian daripada Persidangan Maya Institusi Kewangan Asia Pasifik 2024 yang diadakan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata risiko fizikal daripada bencana alam seperti taufan, banjir dan kemarau terus menimbulkan ancaman besar kepada bank di wilayah seperti Puerto Rico, Paraguay dan Jamaica, yang mengganggu infrastruktur dan aktiviti ekonomi secara berkala.

Kebimbangan terhadap 'dakwaan mesra alam sekitar' oleh segelintir institusi juga mengubah landskap kepercayaan pemberian kredit dan kestabilan kewangan bank, kata Sharad.

Beliau berkata dakwaan sedemikian iaitu apabila institusi secara palsu menunjukkan mereka sebagai bertanggungjawab terhadap alam sekitar boleh memberi kesan negatif kepada kepercayaan kredit institusi kewangan.

"Ia boleh menimbulkan persoalan tentang piawaian tadbir urus bank. Kebimbangan terhadap pemalsuan maklumat itu juga boleh menjejaskan para pelabur, pelanggan atau francais sosial bank, dan menyebabkan mereka dikenakan penalti kewangan daripada pengawal selia atau tindakan undang-undang.

"Pasaran juga bimbang tentang kredibiliti terhadap rancangan dan aktiviti penyahkarbonan," katanya.

Sharad berkata pada masa hadapan bank dijangka akan memaklumkan risiko iklim mereka mengikut piawaian, sekali gus meningkatkan ketepatan dalam analisis kredit.

Jika pihak bank boleh memberikan lebih ketelusan tentang kelemahan sektor kewangan terhadap risiko ini, mereka juga harus meningkatkan kualiti dan kuantiti data yang boleh kami manfaatkan dalam analisis kami, katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan