AM

PENCEMARAN BAU: 47 INDIVIDU ALAMI GEJALA SETAKAT SEMALAM

11/09/2024 05:59 PM

JOHOR BAHRU, 11 Sept (Bernama) -- Sebanyak 47 individu terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak termasuk murid sekolah mengalami gejala ringan setakat semalam, akibat pencemaran bau yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata daripada jumlah itu, sebanyak 10 orang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta termasuk tiga orang dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.

“Bagaimanapun, dua orang sudah dibenarkan pulang semalam manakala seorang lagi masih dirawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak 3 Sept, beberapa siri pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di daerah ini antaranya Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin, Kawasan Industri Desa Tropika, Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal dan Kampung Plentong Baru.

Ling berkata kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia yang dijumpai di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika di sini dijangka siap sepenuhnya pada 22 Sept ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin dalam kenyataan berkata pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan tiga sekolah di sini susulan pencemaran bau akan dilanjutkan hari ini.

Semalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya dan dua sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah diarah melaksanakan PdPR susulan pencemaran bau.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan